KUALA LUMPUR 28 Okt - Zurich Life Insurance Malaysia Berhad (ZLIMB) mengumumkan pelantikan Pauline Teoh sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), berkuat kuasa 1 November 2024.
Beliau mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam industri insurans, setelah menjawat pelbagai jawatan kepimpinan kanan di beberapa institusi kewangan terkemuka di rantau Asia Pasifik (APAC).
Ketua Pegawai Eksekutif Negara/Ketua Zurich Malaysia, Junior Cho berkata, pihaknya mengalu-alukan pelantikan Pauline sebagai CEO ZLIMB yang baharu berdasarkan pengalaman luas, pengetahuan industri dan kemahiran kepimpinannya yang tinggi.
"Pauline yang akan melapor kepada saya bagi jawatannya, adalah individu yang paling sesuai untuk memacu perniagaan ZLIMB dan menjadi sebahagian daripada majlis kepimpinan kami selaras dengan pendekatan OneZurich di bawah Zurich Malaysia.
"Komitmennya terhadap penyelesaian yang mengutamakan pelanggan, selari dengan misi Zurich Malaysia untuk menyediakan produk insurans berinovatif dan memenuhi keperluan rakyat Malaysia yang sentiasa berubah," katanya dalam satu kenyataan.
Pauline merupakan seorang yang amat disegani dalam industri insurans, dengan rekod cemerlang dalam memacu pertumbuhan perniagaan, transformasi digital, pengurusan perkongsian, jualan dan pengedaran, serta pengurusan risiko kewangan.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Matematik, Sains Aktuari dan Ekonomi dari University of Waterloo, Kanada dan merupakan Felo Persatuan Aktuari.
Pauline ketika mengulas mengenai pelantikannya berkata, beliau berbesar hati kerana dilantik untuk menerajui ZLIMB dan berharap dapat menyumbang kepada kejayaan berterusan syarikat.
"Komitmen Zurich Malaysia terhadap inovasi dan mengutamakan pelanggan sememangnya selari dengan nilai saya sendiri, dan saya gembira kerana dapat bekerjasama dengan pasukan di sini untuk terus menyampaikan penyelesaian terbaik yang benar-benar melindungi segala perkara yang bermakna untuk rakyat Malaysia, sambil membina masa depan yang lebih cerah bersama," katanya. - DagangNews.com