Tiada kenaikan OPR beri kelegaan jangka pendek kepada sektor hartanah - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Tiada kenaikan OPR beri kelegaan jangka pendek kepada sektor hartanah - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Julai - Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan dasar semalaman (OPR) pada kadar 3% pada ketika ini memberi kelegaan jangka pendek untuk sektor hartanah.

 

MIDF Research berkata, keadaan itu dilihat positif kepada sektor itu dengan sentimen belian dijangka kekal sihat tanpa sebarang kenaikan harga.

 

Firma itu berkata, OPR yang lebih tinggi akan meningkatkan kos pembiayaan pinjaman perumahan dan seterusnya mengurangkan minat belian ke atas hartanah.

 

Selain itu katanya, OPR yang tidak berubah dijangka memberi manfaat kepada pemaju hartanah dari segi kos pembiayaan.

 

"Kos pembiayaan untuk pemaju hartanah dijangka kekal stabil dalam tempoh terdekat kerana sesetengah pemaju mempunyai pendedahan yang tinggi terhadap hutang kadar terapung," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, pemulihan dalam permohonan pinjaman dan data diluluskan pinjaman pada Mei 2023 sedikit positif kepada sektor hartanah kerana ia menandakan permintaan untuk hartanah kekal disokong manakala prospek jualan hartanah baharu untuk pemaju dijangka lebih baik.

 

Katanya, jumlah pinjaman yang diluluskan untuk pembelian hartanah melonjak sebanyak 18% dari bulan ke bulan pada Mei 2023, membalikkan penurunan sebanyak 17% dari bulan ke bulan pada April 2023.

 

Pinjaman diluluskan yang lebih tinggi pada Mei 2023 disokong oleh permohonan pinjaman yang lebih tinggi yang sebahagiannya diimbangi oleh peratusan yang lebih rendah daripada jumlah pinjaman yang diluluskan berbanding jumlah pinjaman yang dimohon sebanyak 44.8%.

 

"Secara kumulatif, jumlah pinjaman yang diluluskan berjumlah RM106.5 bilion dalam tempoh lima bulan tahun ini, meningkat sebanyak 10% dari tahun ke tahun yang merupakan petanda baik untuk prospek jualan hartanah baharu," katanya.

 

Firma itu kekal neutral terhadap sektor hartanah dan Mah Sing Group (beli, TP:78 sen) dan Glomac Berhad (beli, TP: 43 sen) merupakan pilihan utamanya. - DagangNews.com