KUALA LUMPUR 17 Julai - Titijaya Land Berhad menerusi Titijaya PMC Sdn. Bhd. dan Titijaya South Asia Sdn. Bhd. memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan Menara ABS Berhad bagi mengambil alih Menara TM Semarak bernilai RM72 juta di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kuala Lumpur.
Menara 22 tingkat itu memiliki keluasan 30,115 meter persegi dalam kawasan boleh disewa.
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, rasional pengambilalihan itu adalah bagi menambah aliran pendapatan tambahan dalam bentuk sewaan yang stabil berulang dalam jangka masa panjang dengan tujuan memaksimumkan nilai pemegang saham.
Pada masa sama, Titijaya Land dan anak-anak syarikatnya mungkin mendapat keuntungan daripada peningkatan modal hartanah pada masa hadapan.
"Perniagaan utama kumpulan ialah pembangunan hartanah yang telah menjadi penyumbang hasil utama bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022, menyumbang hasil sebanyak RM274.93 juta.
"Kumpulan bercadang untuk memperoleh hartanah untuk dipajak dan dengan itu menyediakan satu bentuk pendapatan tambahan daripada projek pembangunan hartanahnya yang sedia ada.
"Cadangan pengambilalihan ini berpotensi membolehkan kumpulan menjana pendapatan tambahan melalui pendapatan sewa atau pendapatan pajakan daripada penyewa sedia ada dan bakal penyewa serta memudahkan kemasukan ke dalam perniagaan pusat data," katanya.
Kumpulan itu mungkin terdedah kepada risiko termasuk SPA boleh dibatalkan atau ditamatkan sekiranya tidak menepati syarat.
Pasaran pajakan yang kompetitif bagi hartanah serupa mungkin menjadi cabaran kepada mana-mana rancangan untuk meningkatkan kadar sewa untuk mendapatkan hasil sewa yang memuaskan.
"Namun begitu, Titijaya berusaha untuk memastikan pematuhan sepenuhnya berhubung dengan pemenuhan sebahagian daripada tanggungjawabnya di bawah SPA," katanya. - DagangNews.com