Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
BANGI 22 Julai - Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menganugerahkan kontrak terkumpul sejak tahun 1995 hingga 2019 yang bernilai RM16.9 bilion kepada syarikat vendor menerusi Program Pengilang dan Kontraktor Bumiputera (PPKB).
Kontrak itu melibatkan sebanyak 822 syarikat Bumiputera dengan 32 vendor merupakan kategori pembekal dan 790 adalah kontraktor.
Ketua Pegawai Perolehan TNB, Amir Mahmod Abdullah berkata, jumlah kontrak yang akan dikeluarkan pada tahun ini pula tertakluk kepada permohonan yang dihantar kepada Suruhanjaya Tenaga (ST).
“Bagi tahun ini, jumlah kontrak yang akan dikeluarkan tertakluk kepada permohonan pihak kami kepada ST yang mana permohonan baharu masih dipertimbangkan.
“Namun kami telah membelanjakan sejumlah RM7 bilion bagi perbelanjaan modal untuk projek kerja infrastruktur dan pembangunan baharu bagi tahun ini,” katanya selepas majlis pelancaran Program Peningkatan Kemahiran bagi Kontraktor TNB di TNB Integrated Learning Solution Sdn. Bhd. (IlSAS), di sini hari ini.
Program itu dirasmikan oleh Pengerusi TNB Datuk Seri Mahdzir Khalid dan turut hadir, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian, Seksyen Vendor, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Azrilah Abdul Aziz serta Presiden Persatuan Rakan Niaga Strategik Malaysia (PERNISMA), Mohd. Daud Mohd. Sharif.
Dalam pada itu, Mahdzir memberitahu program tersebut dianjurkan bagi meningkatkan kemahiran para kontraktor menerusi peningkatan tahap daya saing kemahiran dan keupayaan teknikal mereka.
“Ini juga bagi memastikan kerja yang dilaksanakan adalah berkualiti serta mengikut prosedur dan piawaian kejuruteraan yang ditetapkan.
“Ia juga sejajar dengan komitmen TNB yang sentiasa berusaha untuk membangunkan vendor PPKB selaras dengan hasrat negara membina dan memperkasa sektor perdagangan dan perindustrian,” katanya ketika berucap pada program berkenaan.
Menerusi PPKB, TNB telah memainkan peranannya sebagai syarikat induk untuk membangunkan syarikat vendor khususnya dalam kalangan Bumiputera sejak lebih suku abad lalu.
Mengulas mengenai nilai kontrak berjumlah RM16.9 bilion berkenaan, Mahdzir melihat jumlah itu dapat merancakkan kegiatan ekonomi termasuk bidang pembekalan, peruncitan dan penyediaan peluang pekerjaan. - DagangNews.com