TNB bina dan baiki kediaman lebih 1,000 keluarga miskin tegar | DagangNews Skip to main content

TNB bina dan baiki kediaman lebih 1,000 keluarga miskin tegar

Norismah Ismail (dua dari kanan) bersama anak-anaknya gembira di hadapan rumah baharu mereka selepas menerima kunci rumah sumbangan dari Projek Baiti Jannati TNB pada 14 Januari 2022.

KUALA LUMPUR 15 Jan - Suara Norfatihah Norazam, 19, tersekat-sekat menahan sebak sewaktu mengucapkan terima kasih bagi pihak ayahnya yang meninggal dunia tiga bulan lalu, yang ketika itu rumah mereka sedang dibina oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kampung Tersusun Sungai Terap, Batu Gajah, Perak.

 

Mewakili keluarganya berucap di majlis kesyukuran menerima rumah Projek Baiti Jannati (PBJ) TNB pada 14 Januari 2022, anak sulung Allahyarham Norazam Abdul Rahman itu menceritakan betapa hasrat ayahnya tidak kesampaian untuk menikmati kediaman selesa berkenaan.

 

Norazam adalah antara 11 keluarga menerima rumah baru di Perak bagi tahun 2021, sekali gus menjadikan 128 keluarga di negeri itu menikmati pemberian rumah atau rumah dibaik pulih di bawah projek berkenaan dengan nilai hampir RM5.8 juta sejak 2008.

 

PBJ adalah antara program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) TNB untuk berkongsi kemakmuran dengan rakyat dan sejak diperkenalkan pada 2007, sejumlah 879 buah rumah sudah dibaik pulih, dibina baharu atau dibiayai pembeliannya di seluruh Semenanjung melibatkan belanja hampir RM40 juta.

 

Bagi penduduk bukan Islam pula, TNB menyediakan program sama yang dikenali sebagai PMR iaitu Program Mesra Rakyat melalui peruntukan TNB. Sejak diperkenalkan pada 2012, sebanyak 214 keluarga bukan Islam dari seluruh negara telah menikmati manfaatnya dengan biayaan lebih RM7.34 juta.

 

Balu Norazam, Norismah Ismail, 49, menerima kunci rumah barunya yang diserahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak (InTap), Dato’ Zolkafly Harun sambil disaksikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din.

 

Selain Norfatihah, Norazam yang meninggal dunia kerana serangan angin ahmar dalam usia 48 tahun pada 12 Oktober tahun lalu, meninggalkan dua orang lagi anak yang masih bersekolah, Noralif Eizham, 16, dan Norannisa, 12. Norismah pula tidak bekerja dan keluarga berkenaan meneruskan kehidupan dengan wang pencen ilat PERKESO.

 

“Sebelum ayah pergi (meninggal dunia), dia cakap tak sabar nak tunggu rumah ini siap, mesti cantik dan banyak rancangannya untuk rumah ini. Dia amat bersyukur.

 

“Sayangnya (ayah) tak berkesempatan…oleh itu, saya ingin merakamkan sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih kepada pihak yang terlibat untuk merealisasikan rumah yang serba indah ini. Saya dan seisi keluarga saya bersyukur dan berterima kasih,” kata Norfatihah yang masih menuntut di sebuah kolej.

 

TNB
Dato' Zolkafly Harun (tiga, kanan) diiringi Datuk Ir. Baharin Din (tiga, kiri) menyampaikan replika kunci kepada Norismah Ismail.

 


Sekalipun menghadapi cabaran pandemik COVID-19, ia tidak menghalang TNB meneruskan inisiatif PBJ di seluruh Semenanjung dalam usaha membantu kerajaan menyediakan kediaman yang lebih selesa kepada golongan yang memerlukan.

 

Justeru, kata Baharin, pelaksanaan PBJ merangkumi usaha membaiki, membeli atau membina kediaman golongan B40 dan asnaf terpilih meliputi ibu tunggal, warga emas dan golongan miskin dengan menggunakan sumber wang zakat perniagaan TNB yang dikembalikan oleh Majlis Agama Islam Negeri.

 

“Bersama-samalah kita doakan agar kemudahan ini dapat diteruskan dengan TNB terus berjaya mempelopori perniagaan elektrik. Kalau TNB maju, sudah tentu (kita) pastikan pulangan diberi, dikongsi bersama rakyat jelata, kerana TNB adalah satu organisasi yang dekat dengan rakyat,” katanya.

 

TNB
Datuk Ir. Baharin Din (kanan) menyerahkan sumbangan Tabung Warga TNB Prihatin kepada penerima bantuan, Norismah Ismail.


 

Menurut beliau, TNB terbuka dalam mengkaji peruntukan yang sesuai bagi pelaksanaan PBJ, lebih-lebih lagi dalam suasana sukar ketika ramai bergelut membayar hutang atau sewa rumah. PBJ dapat menghapuskan kebimbangan yang meningkat terhadap keupayaan ketua isi rumah menyediakan tempat perlindungan secara berterusan kepada keluarga masing-masing.

 

“Besarlah harapan TNB agar para penerima rumah PBJ dan keluarga masing-masing, tabah menghadapi ujian dan dapat menjalani kehidupan dengan lebih selesa. TNB sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap masyarakat setempat, terutama susulan pandemik COVID-19 yang banyak memberi kesan kepada rakyat,” ujar Baharin.

 

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri, Majlis Agama Islam Negeri dan semua pihak yang terlibat menyokong usaha TNB dengan memudah cara dan menjayakan program PBJ. - DagangNews.com