TNB capai kemajuan pesat dalam peralihan tenaga, rancang pelaburan RM22 bilion bangunkan grid masa depan | DagangNews Skip to main content

TNB capai kemajuan pesat dalam peralihan tenaga, rancang pelaburan RM22 bilion bangunkan grid masa depan

Datuk Ali Biju (dua, kanan) merasmikan Persidangan Antarabangsa Pembelajaran dan Pembangunan (ICLAD2021) di Bangsar pada Selasa lalu. Turut hadir Datuk Wira Roslan Ab Rahman (tengah), Mohammad Nazri Mizayauddin (paling kiri), Wahizan Abdul Rahman (dua, kiri) dan Siti Sarah Johana Mohd Said (paling kanan).

 

 

KUALA LUMPUR 18 Nov - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menunjukkan perkembangan ketara dalam menggabungkan kelestarian dalam rangkaiannya melalui pemodenan grid nasional, kata Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju.

 

Beliau berkata, TNB telah mencapai kemajuan besar dalam persediaan menuju peralihan tenaga dengan memperkenalkan inisiatif Reimagining TNB pada 2016.

 

Menurut beliau, Inisiatif strategik ini adalah langkah penting ke arah melaksanakan kelestarian.

 

Menyedari komitmen TNB untuk terus mengutamakan pelaburan dalam memodenkan grid nasional ke arah Grid Masa Hadapan, beliau berkata, langkah ini dapat mewujudkan sistem grid yang kekal berdaya harap, berdaya tahan, pintar dengan teknologi digital di samping fleksibel dalam memenuhi keperluan negara untuk peralihan tenaga.

 

“Dalam memenuhi keperluan ini, pulangan munasabah adalah penting bagi TNB untuk mengekalkan perbelanjaan modal yang diperlukan,” katanya ketika merasmikan  Persidangan Antarabangsa Pembelajaran dan Pembangunan (ICLAD2021) di Bangsar, semalam.

 

Yang turut hadir Ketua Pegawai Kawalselia & Pengurusan Stakeholder TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman, Ketua Pegawai Strategik Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), Mohammad Nazri Mizayauddin, Ketua Pegawai Insan TNB, Wahizan Abdul Rahman, dan Pengarah Urusan ILSAS, Siti Sarah Johana Mohd Said.

 

 

TNB

 

TNB

 

 

Ali berkata, sebagai menyokong matlamat negara untuk beralih daripada menggunakan bahan api kepada 31% tenaga boleh diperbaharui (RE) menjelang 2025, grid nasional mesti bersedia menerima RE untuk menyokong aliran tenaga dua hala dinamik, sambil mengekalkan kestabilan voltan.

 

“Justeru, di bawah mekanisme Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), TNB merancang untuk melabur sebanyak RM22 bilion bagi tempoh 2022-2024, tertakluk pada kelulusan kerajaan, untuk terus membangunkan grid masa depan menjadi pemboleh utama peralihan tenaga.

 

“Ini akan dilaksanakan dengan menghubungkan keseluruhan rantaian nilai daripada penjanaan kepada penghantaran dan pembahagian sehingga ke premis-premis pelanggan. Sebenarnya, pelanggan sudah pun menikmati grid masa depan sejak beberapa tahun lalu melalui pelaburan modal TNB dan juga di bawah IBR,” tambah Ali.

 

Ketua Pegawai Kawalselia & Pengurusan Stakeholder TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman dalam ucapannya pula berkata, TNB terus komited untuk melabur ke arah peralihan tenaga, selaras usaha-usaha menyediakan sokongan ekonomi kepada Kerajaan.

 

“Isu perubahan iklim menjadi keutamaan utama pelaburan TNB di samping menyokong dan merangsang agenda pemulihan ekonomi negara.”

 

TNB

 

TNB

 

 

Datuk Wira Roslan berkata sasaran TNB ialah untuk meningkatkan kecekapan industri dan menambah baik pengalaman pelanggan, selain menggalakkan penggunaan tenaga hijau untuk mengimbangi keupayaan dan keselamatan sistem grid Malaysia.

 

“Melalui usaha kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan di negara ini, TNB juga bersedia untuk menerajui peralihan Malaysia kepada mobiliti rendah karbon terutamanya melalui teknologi Kenderaan Elektrik Bateri (BEV).”

 

Mengenai ICLAD2021, beliau berkata persidangan antarabangsa itu adalah platform perbincangan intelektual mengenai bidang pembelajaran dan pembangunan industri tenaga di Malaysia serta seluruh dunia. Kini memasuki tahun kelima, ICLAD 2021 dianjurkan ILSAS, institusi latihan teknikal milik TNB. - DagangNews.com