TNB keluarkan panduan penggunaan elektrik untuk pengguna sebelum meninggalkan kediaman  | DagangNews Skip to main content

TNB keluarkan panduan penggunaan elektrik untuk pengguna sebelum meninggalkan kediaman 

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Okt. -  Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihati orang ramai yang ingin pulang ke kampung atau atau bercuti berikutan kelonggaran kebenaran merentas negeri agar mengamalkan beberapa panduan penggunaan elektrik yang selamat dan bijak tenaga sebelum meninggalkan kediaman. 

 

Dalam kenyataannya, TNB menasihatkan pengguna untuk mematikan dan menutup suis semua peralatan elektrik seperti peralatan pemanas air serta seterika selain melakukan pemeriksaan di luar rumah untuk mengelakkan perkara yang boleh menyebabkan kemalangan elektrik seperti beberapa wayar elektrik yang terdedah kepada kelembapan dan tumbuhan yang boleh memutuskan talian elektrik berdekatan.

 

Syarikat utiliti itu turut menyarankan supaya pengguna mempertimbangkan penggunaan alat pengukur masa (timer) supaya lampu tidak dipasang 24 jam sehari. 

 

"Selain untuk menjimatkan penggunaan tenaga, ia juga boleh mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini.

Matikan suis sebelum keluar rumah

 

"Pengguna juga dinasihatkan untuk membuka gulungan wayar sambungan tambahan (extension wire) sepenuhnya untuk mengelak berlaku lebihan beban yang boleh mengakibatkan kebakaran disebabkan litar pintas dan menguji Peranti Arus Baki (PAB) sekurang-kurangnya sebulan sekali dengan menekan butang uji. 

 

"Sila hubungi kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk menggantikan PAB yang diluluskan oleh ST sekiranya butang uji ditekan dan bekalan elektrik tidak terputus dengan serta-merta," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambah TNB, sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik, para Pengguna dinasihatkan untuk menghubungi TNB CareLine di talian 15454 atau Facebook “TNB CareLine” untuk mendapatkan bantuan. -DagangNews.com