TNBX, Allianz General, Anora jalin kerjasama tawar perlindungan PV solar | DagangNews Skip to main content

TNBX, Allianz General, Anora jalin kerjasama tawar perlindungan PV solar

Samuel Soon (kiri) bersama Sean Wang dan Ir Nirinder Singh Johl ketika perjanjian kerjasama menawarkan SuriaShield kepada pengguna PV solar
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Feb - TNBX Sdn Bhd (TNBX) menjalin kerjasama dengan Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad (Allianz General) dan Agensi Anora (Anora) untuk menawarkan insurans SuriaShield kepada pengguna fotovoltaik (PV) solar di Malaysia. 

 

Perjanjian kerjasama tersebut ditandatangani Pengarah Urusan TNBX, Ir Nirinder Singh Johl; Ketua Pegawai Eksekutif Allianz General, Sean Wang dan Ketua Pegawai Eksekutif Anora, Samuel Soon. 

 

Kerjasama antara Allianz General dan Anora adalah untuk mengembangkan dan mengunderaitkan SuriaShield untuk TNBX, yang akan dipasarkan dan boleh dibeli di mana-mana saluran TNBX.

 

SuriaShield ialah insurans PV solar kediaman mampu milik yang menawarkan perlindungan 360 darjah komprehensif, pembaikan dan pemulihan tanpa tunai serta pampasan pendapatan atau simpanan ketika berlaku kerosakan sistem. 

 

Ir. Nirinder berkata, kerjasama itu akan memacu tawaran nilai yang lebih baik untuk pemilik PV solar serta menyediakan perlindungan penuh untuk aset PV mereka. 

 

“Dengan lebih ramai orang memilih tenaga elektrik solar, pasaran untuk insurans solar akan berkembang. TNBX akan terus berusaha memperkenalkan penyelesaian baharu untuk menambah baik pengalaman pelanggan dan mempromosikan perkembangan tenaga yang boleh diperbaharui di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sean pula berkata, beliau percaya bahawa kerjasama tersebut adalah langkah yang mengujakan untuk syarikat dengan usaha berterusannya mencapai matlamat menjadi pemain utama dalam membina masa depan lestari. 

 

“Sebagai penanggung insurans, kami mempunyai peranan penting dalam meneraju penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui dan menyokong minat untuk bertukar kepada tenaga solar. 

 

"Melalui kerjasama berterusan bersama Anora, kami menawarkan perlindungan komprehensif untuk pemilik PV solar dan kini dengan TNBX, kami mempunyai akses sebuah lagi saluran dan peluang berkhidmat kepada kumpulan pelanggan baharu,” katanya.

 

solar

 

 

Dalam pada itu, Samuel berkata, kerjasama tiga pihak bersama TNBX dan Allianz General adalah sebuah pencapaian yang penting dalam industri solar. 

 

"Kami sangat berbesar hati dan berbangga dengan kerjasama bersama TNBX, sebuah penyedia penyelesaian untuk tenaga yang boleh diperbaharui serta tenaga efisien dan Allianz General, penanggung insurans am terbesar di Malaysia bagi menawarkan SuriaShielf. 

 

"Pelancaran SuriaShield adalah sangat bertepatan dengan aliran masa kini yang memenuhi keperluan FIT sedia ada dan NEM yang kian meningkat serta Suria Shield akan menjadi pemudah untuk pasaran solar tempatan,” katanya.

 

Bersempena dengan pelancaran rasmi SuriaShield, TNBX dengan kerjasama Anora akan memberikan perlindungan kemalangan diri RM10 percuma untuk setahun yang diunderaitkan oleh Allianz General untuk 1,000 pelanggan SuriaShield pertama. 

 

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang SuriaShield, layari suriashield.tnbx.com.my/home. - DagangNews.com