TopVision dapat kelulusan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia  | DagangNews Skip to main content

TopVision dapat kelulusan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia 

TopVision Eye Specialist, cawangan Johor Bahru - Gambar dari Facebook TopVision
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Sept - TopVision Eye Specialist Bhd menerima kelulusan Bursa Malaysia bagi cadangan pemindahannya daripada Pasaran LEAP ke Pasaran ACE.

 

Menurut maklumannya di Bursa Malaysia,TopVision berkata, pengawal selia bursa saham telah memberi kebenaran untuk pemindahan penyenaraian keseluruhan modal saham terbitan syarikat sebanyak 309.82 juta saham.

 

Tawaran awam permulaan (IPO) yang dicadangkan terdiri daripada keseluruhan terbitan awam sebanyak 54.22 juta saham baharu, mewakili sehingga 17.5% kepentingan syarikat itu, pada harga yang akan ditentukan, menurut draf prospektusnya yang disiarkan kepada Bursa pada bulan Julai. 

 

Tiada penjualan berasingan saham sedia ada.

 

Di bawah terbitan awam, TopVision berkata, ia akan memperuntukkan 15.49 juta saham baharu kepada orang awam Malaysia dan 4.8 juta saham kepada orang yang layak.

 

Syarikat itu juga 33.93 juta saham baharu kepada pelabur institusi dan terpilih melalui penempatan persendirian.

 

TopVision dan anak syarikatnya terlibat dalam penyediaan perkhidmatan perubatan mata yang terdiri daripada penjagaan mata am bagi rawatan penyakit mata.

 

Menurut syarikat itu, dana yang diperoleh daripada IPO akan digunakan untuk membiayai sebahagian daripada penubuhan pusat pakar mata antarabangsanya dengan anggaran kos sebanyak RM16 juta.

 

Selain itu, keseluruhan hasil kasar berjumlah RM12.02 juta daripada penyenaraiannya di Pasaran LEAP telah digunakan sepenuhnya.

 

Syarikat itu mula-mula mengumumkan cadangan pemindahannya ke Pasaran ACE pada Februari 2023, selepas disenaraikan di Pasaran LEAP sejak November 2018.

 

TopVision kini dimiliki oleh pengasas Datuk Kenny Liew Hock Nean dan isterinya, Dr Angela Loo Voon Pei, serta Dr Peter Chong Kuok Siong dan pasangannya, Soong Yoke Voon.

 

Bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2024, TopVision mencatatkan keuntungan bersih RM2.74 juta dengan hasil RM21.93 juta.

 

Saham TopVision kali terakhir didagangkan pada 15 Julai pada 72.5 sen, memberikan syarikat itu permodalan pasaran sebanyak RM191.7 juta.- DagangNews.com