KUALA LUMPUR 15 Julai - Toyota GR Supra kini tampil dengan penambahan kuasa baharu bagi terus mengukuhkan statusnya sebagai sebuah kereta sport paling asli yang direka khas bagi pemanduan lebih kondusif.
Toyota dalam kenyataan hari ini berkata, GR Supra kini diberi peningkatan kemampuan dengan enjin 3.0 yang diguna pakai kepada output yang lebih tinggi bagi meningkatkan prestasi pemanduan.
"Peningkatan kuasa ini tertumpu kepada enjin enam-silinder Turbacos yang menghasilkan 285kW (388PS) kuasa iaitu antara 5,800 hingga 6,500 rpm dengan peningkatan sebanyak 14%. Tork maksimum pula kekak pada angka 500Nm dan dicapai lebih luas antara 1,800 hingga 5,000rpm berbanding 1,600 hingga 4,500rpm sebelum ini.
"Output kuasa tidak hanya ditingkatkan melalui talaan semula, tetapi turut melibatkan penambahan Manifold ekzos dua cabang utama dengan enam port yang bertujuan untuk memperbaiki pengurusan haba enjin. Rekaan piston baru juga mengurangkan nisbah mampatan enjin daripada 11:1 kepada 10.2:1," jelas kenyataan itu.
Enjin yang dinaik taraf dengan julat yang lebih tinggi juga mengekalkan keupayaan rev yang tinggi bagi kelancaran optimum disamping transmisi automatik lapan kelajuan ZF dengan kadar pecutan 4.1 saat berbanding 4.3 saat sebelumnya.
Casis turut diubah suai dengan pertambahan rod prestasi bagi kestabilan dan ketahanan optimum dengan mengambil kira pendapat pemandu jentera berprestasi tinggi.
"Pelanggan juga boleh memilih tujuh warna seperti Prominence Red, Lighting Yellow, White Metalic, Silver Metallic, Ice Grey Metalic, Black Metalic dan Matte Storm Grey Metalic.
"Aspek keselamatan pada kereta juga dinaik taraf termasuk sistem aktif yang berkerjasama membantu pemandu seperti sistem pemantau, tekanan tayar, sensor parkir pintar dengan fungsi brek kecemasan dan peninjau titik buta bersama amaran trafik di belakang," kata kenyataan itu lagi.
Ciri dalaman pula menampilkan gabungan seperti paparan Head-Up Display yang membolehkan pemandu memberi tumpuan terus kepada jalan bersama maklumat pemanduan.
Kerusi berkuasa elektrik dengan fungsi memori pula dikhaskan bagi mengekalkan kedudukan sekiranya diubah pemandu lain selain sistem audio JBL yang lengkap dengan 12 pembesar suara yang menjamin kualiti bunyi.
GR Supra terbaharu kini boleh ditempah melalui bilik-bilik pameran terpilih Toyota GR Garage dengan harga bermula RM589,987 hingga RM611,880. - DagangNews.com