Transformasi pembayaran tanpa tunai di Caltex | DagangNews Skip to main content

Transformasi pembayaran tanpa tunai di Caltex

Caltex

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Seiring dengan perkembangan digital, Caltex bakal memperkenalkan perkhidmatan pembayaran tanpa tunai atau e-dompet (e-wallet) di seluruh stesen minyaknya.

Transformasi digital itu adalah hasil kerjasama syarikat penyedia penyelesaian pembayaran tanpa tunai, Revenue Group bersama syarikat pemilik dan pemasaran Caltex Malaysia, Chevron Malaysia Ltd.

Ketua Chevron Malaysia, Jay Gomez berkata, kerjasama tersebut membantu pelanggan untuk membuat lebih banyak pilihan pembayaran dengan lebih selamat.

"Di Caltex, komitmen kami adalah untuk menawarkan produk dan perkhidmatan bahan bakar yang terbaik. Fokus utama adalah untuk memastikan kami mempunyai sistem pembayaran terkini untuk para pelanggan.

"Kami sangat gembira dengan kerjasama Revenue untuk memperkenalkan pembayaran e-wallet di stesen minyak kami. Cara ini membantu pemandu kenderaan mengisi minyak dan hanya membayar dengan menggunakan telefon bimbit mereka," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Melalui kerjasama tersebut, lebih 420 stesen minyak Caltex akan dilengkapi dengan pembaharuan pembayaran digital.

Kaedah pembayaran digital yang dijangka selesai pada akhir bulan itu turut menerima pembayaran melalui Touch'n Go eWallet, Boost dan GrabPay.

Selain Caltex, Petronas sebelum ini telah menggunakan perkhidmatan pembayaran tanpa tunai yang diperkenalkan oleh syarikat penyedia penyelesaian e-pembayaran, Setel Venture Sdn. Bhd.

Eddie Ng Chee Siong
Eddie Ng Chee Siong

 

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Revenue, Eddie Ng Chee Siong berkata, kerjasama tersebut adalah tepat pada masanya susulan peningkatan penggunaan pembayaran digital akibat pandemik COVID-19.

"Kerjasama bersama Caltex ini dapat meluaskan lagi jaringan perniagaan kami selain menepati impian kami untuk memperluas pembayaran tanpa tunai di negara ini," tambahnya. - DagangNews.com