U Mobile dan ZTE jalin kerjasama cepatkan rangkaian 5G kedua di Malaysia | DagangNews Skip to main content

U Mobile dan ZTE jalin kerjasama cepatkan rangkaian 5G kedua di Malaysia

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Ogos - U Mobile menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan ZTE Corporation, sebuah penyedia teknologi maklumat dan komunikasi bersepadu, dalam pembangunan rangkaian 5G kedua di Malaysia serta meneroka teknologi masa hadapan, termasuk 5G-Advanced (5G-A). 

 

MoU itu akan memperkukuhkan kedudukan pembekal perkhidmatan digital itu dengan menyediakan pengalaman 5G dan 5G-A yang berkualiti tinggi, khususnya dalam sektor perniagaan. 

 

Menerusi MoU itu, U Mobile akan melaksanakan perkakasan dan perisian terkini untuk membangunkan rangkaian 5G kedua yang berprestasi tinggi dan cekap.

 

Dari segi sokongan hujung ke hujung, U Mobile berkata kedua-dua pihak itu akan bekerjasama alam reka bentuk rangkaian, perancangan, pelaksanaan, operasi, dan pengoptimuman pembangunan rangkaian 5G itu.

 

“Kami akan bekerjasama dengan rakan kongsi strategik untuk menilai dan mencari penyelesaian pembiayaan inovatif bagi memastikan model yang memudahkan pelaksanaan teknologi yang pantas dan kos efektif,” ujar U Mobile dalam kenyataan hari ini. 

 

Selain itu, U Mobile akan terus bekerjasama dengan ZTE dalam pelbagai inisiatif penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang melangkaui 5G, termasuk evolusi ke arah 5G-A, 6G, dan teknologi masa depan lain bagi menyokong keperluan pengguna dan pelbagai sektor perniagaan. 

 

Ketua Pegawai Teknologi U Mobile, Woon Ooi Yuen berkata kerjasama itu akan membawa perkhidmatan dan penyelesaian 5G yang berkualiti tinggi serta mampu milik kepada rakyat Malaysia. 

 

“Kami yakin bahawa teknologi canggih dan pandangan global ZTE akan membolehkan kami membina rangkaian 5G kedua dengan cepat dan efisien, sambil mempersiapkan rangkaian kami untuk teknologi masa depan yang direka untuk memenuhi keperluan pengguna dan perniagaan,” ulas beliau. 

 

Pengarah Urusan ZTE Malaysia, Steven Ge berkata, ZTE akan membawa teknologi baharu dalam kerjasama itu seperti kecerdasan sejagat, keupayaan deterministik, penderiaan bersepadu dan komunikasi dalam pembinaan rangkaian bagi pengguna dan perniagaan. 

 

“Melalui kerjasama itu, kami yakin teknologi kami akan memperkasakan ekonomi digital di Malaysia,” ujar beliau. 

 

Sementara itu, kerjasama antara U Mobile dan ZTE dibina di atas kejayaan usaha sama terdahulu termasuk usaha bersama dalam meningkatkan teknologi 5G dan 5G-Advanced, Containerisation dan inisiatif rangkaian autonomi, serta penerimaan 5G untuk perniagaan.- DagangNews.com