U Mobile jalin kerjasama dengan STT GDC manfaatkan 5G bagi tingkatkan kecekapan pusat data | DagangNews Skip to main content

U Mobile jalin kerjasama dengan STT GDC manfaatkan 5G bagi tingkatkan kecekapan pusat data

Gambaran artis bagi pusat data STT Kuala Lumpur 1
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Ogos - U Mobile dan ST Telemedia Global Data Centres (STT GDC) memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk memanfaatkan penggunaan 5G dalam meningkatkan kecekapan pusat data di Malaysia.


 
Melalui kerjasama itu, SST GDC, satu daripada penyedia perkhidmatan kolokasi pusat data akan memanfaatkan sambungan berkelajuan tinggi dan kependaman rendah 5G syarikat telekom bagi pengkomputeran dan peranti syarikat internet benda (IoT).

 

SST GDC juga akan memanfaatkan 5G sebagai sandaran penting sekiranya berlaku kegagalan rangkaian gentian, memudahkan pemulihan bencana untuk sistem pengurusan kemudahan.

 

Menurut kenyataan media bersama, U Mobile akan memanfaatkan kes penggunaan baharu dan inisiatif inovasi pelanggan bersama melalui MoU itu.

 

Selain itu, servis 5G yang menyokong kecerdasan buatan (AI) dan dan aplikasi Pembelajaran Mesin (ML) itu akan memudahkan pemantauan masa nyata, diagnostik dan operasi autonomi untuk aplikasi tepi. 

 

Ia merupakan ciri yang  bakal menarik perhatian pelanggan kedua-dua syarikat itu.

 

Ketua Pegawai Teknologi U Mobile, Woon Ooi Yuen berkata syarikat telekomunikasi itu dapat menyaksikan bagaimana 5G membantu mengoptimumkan kos dan kecekapan untuk pelanggannya.

 


 “Kami percaya kerjasama ini berpotensi melalui penerokaan kes penggunaan bersama dengan STT  GDC kerana pusat data penting untuk ekonomi digital Malaysia  bagi penyimpanan, pemprosesan dan  pengurusan sejumlah besar data,” ujarnya. 

 

Ketua Pegawai Teknologi Kumpulan Pusat Data Global ST Telemedia, Dan Pointon berkata perkongsian itu menunjukkan komitmennya untuk menyediakan rumusan pusat data berprestasi tinggi bagi memastikan kebolehpercayaan dan kecemerlangan operasi. 

 

“Kerjasama dengan U Mobile akan membolehkan kami menawarkan perkhidmatan yang dipertingkatkan untuk ketersambungan tepi melalui penerokaaan kes penggunaan baharu dan inisiatif inovasi bersama, kami berhasrat untuk memacu masa depan teknologi pusat data,” ulas beliau.- DagangNews.com