KUALA LUMPUR 31 Julai - Pembekal perkhidmatan digital, U Mobile memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Kumpulan AmBank sebagai persediaan penggunaan pantas rangkaian 5G kedua negara.
MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Kewangan U Mobile Sandy Tsang dan Naib Presiden Kanan, Liputan Perbankan Borong Kumpulan AmBank Cheah Wei Koon di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.
Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Wong Heang Tuck dan Pengarah Urusan Perbankan Borong di AmBank Jamzidi Khalid.
Menurut kenyataan hari ini, U Mobile berkata peranan Kumpulan AmBank dalam kerjasama itu adalah menyediakan penyelesaian pembiayaan bagi memenuhi keperluan penggunaan rangkaian 5G syarikat telekomunikasi itu.
U Mobile berkata, kerjasama itu akan mengukuhkan lagi keupayaan U Mobile untuk melaksanakan penggunaan rangkaian 5G kedua negara yang kos efektif, cekap dan tepat pada masanya.
“Ia akan meningkatkan ketersambungan digital di seluruh negara dan mewujudkan peluang baharu untuk inovasi dan pertumbuhan dalam ekonomi negara dengan cara yang mampan,” ujarnya.
Selain itu, U Mobile berkata MoU itu juga merupakan bukti hubungan antara dua pihak itu yang telah lama terjalin.
Menurut U Mobile, Kumpulan Ambank telah memberi pembiayaan sebanyak RM200 juta bagi memenuhi sasaran prestasi kemampanan sejajar dengan matlamat kemampanan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) syarikatnya.
Tsang berkata U Mobile komited sepenuhnya untuk membawa manfaat teknologi 5G kepada pengguna, perusahaan dan sektor awam.
"Perkongsian strategik ini mewakili visi bersama ke arah memacu inovasi dan menyampaikan nilai kepada semua pihak berkepentingan,” ujarnya.
Di samping itu Jamzidi Khalid juga menekankan kepentingan kerjasama itu bagi meningkatkan landskap digital Malaysia dengan penggunaan rangkaian 5G kedua U Mobile.
"Kerjasama itu menggariskan komitmen kami untuk menyediakan penyelesaian kewangan inovatif yang memacu kemajuan teknologi dan pertumbuhan ekonomi.
"Kami juga berharap untuk meneruskan perkongsian dan sumbangan kami kepada matlamat ketersambungan dan kemampanan negara,” ulas beliau.- DagangNews.com