KUALA LUMPUR 30 Ogos - UEM Edgenta Bhd mencatatkan penurunan hampir 5% dalam keuntungan bersih separuh pertama (1HFY24) serta menjangkakan keputusan lebih kukuh pada separuh kedua (2HFY24) disebalik pengoptimuman kos.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Syahrunizam Samsudin berkata, syarikat itu menyaksikan perumbuhan dalam pasaran asing dan memanfaatkan daripada pengoptimuman kos dan perniagaan infrastruktur yang berkembang di dalam negara.
Syarikat pengurusan aset dan penyelesaian infrastruktur itu juga proaktif dalam menguruskan kos melalui program pengoptimuman komprehensif yang merangkumi penjimatan perolehan, kawalan opex dan pengurusan tenaga kerja.
Menurut Syahrunizam, syarikat itu telah mencapai penjimatan RM91 juta setakat tahun ini.
UEM Edgenta menyasarkan untuk mencapai penjimatan kos RM100 juta dalam tempoh lima tahun dari FY21 hingga FY25 di bawah inisiatif Edgenta of The Future 2025 (EoTF).
Syahrunizam turut berkata, kini syarikat itu menggunakan EoTF 2.0 yang akan meningkatkan jumlah penjimatan kos dalam tempoh lima tahun kepada RM150 juta.
Beliau juga menekankan segmen perkhidmatan infrastruktur yang menawarkan kepakaran dalam penyelenggaraan rangkaian lebuh raya termasuk kerja turapan, dijangka memacu prestasi Kumpulan pada separuh kedua FY24.
Menyentuh mengenai pembaharuan kontrak dengan Kementerian Kesihatan bagi penyediaan perkhidmatan sokongan hospital kepada hospital awam, beliau berkata, rundingan masih diteruskan dan dijangka akan berakhir pada akhir tahun ini.
"Ia kelihatan positif, kontrak itu lazimnya menjangkau satu dekad dan bernilai kira-kira RM500 juta setiap tahun secara purata," kata beliau.
Syahrunizam berkata Kumpulan telah menerima RM2 bilion kontrak baharu pada separuh pertama tahun ini, menyamai jumlah kemenangan baharu pada FY23 di mana, 90% daripada kemenangan tersebut datang daripada perniagaan antarabangsanya di Singapura, Taiwan dan Timur Tengah.
Keuntungan bersih UEM Edgenta kekal tidak berubah pada RM12.6 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24), daripada RM12.53 juta setahun sebelumnya, manakala hasilnya berkembang 5.6% kepada RM759.53 juta, daripada RM719.26 juta.
Bagi separuh pertama FY24, keuntungan bersih kumpulan turun 4.71% tahun ke tahun kepada RM22.33 juta daripada RM23.43 juta, manakala hasil meningkat 6.37% kepada RM1.44 bilion, daripada RM1.35 bilion.
Kumpulan itu tidak membayar sebarang dividen setakat tahun ini di mana sebelum ini, ia membayar dividen dua sen sesaham pada FY23, berbanding empat sen pada FY22 dan tiga sen pada FY21.- DagangNews.com