BERA 18 Nov – Ugutan dan politik balas dendam sememangnya amalan yang dipraktiskan Pakatan Harapan (PH) sejak hari pertama mereka masuk sebagai pemerintah selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Hal demikian, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, adalah tidak pelik bila Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli memberi amaran kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki jika gabungan PH memenangi PRU15, Sabtu ini.
“Inilah sikap sebenar mereka, simpan dendam.
"Lihat saja lepas menang PRU14 pada hari pertama masuk memerintah sebagai kerajaan PH balas dendam dengan memecat puluhan ribu pegawai kontrak di Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Biro Tata Negara (BTN) dan sebahagian kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) kerana diangggap penyokong Barisan Nasional (BN).
“Mereka dipecat tanpa ada ruang, dibuang serta-merta terus jabatan dibubarkan, malah pengerusi-pengerusi agensi, anak syarikat dapat surat pecat. Sikap mereka dah ditunjuk sebelum ini.
“Jadi ugutan Rafizi itu bukan suatu yang asing dalam amalan PH. Harapnya kakitangan awam sedar perkara ini, tuduh polis dan askar dibayar, itu juga satu bentuk penghinaan kepada tentera dan keluarga mereka,” katanya ketika sidang media selepas program ramah mesra bersama warga Bandar 32 di Felda Sebertak pada Jumaat, Suara.tv melaporkan.
Terdahulu, pada Ceramah Mega Pakatan Harapan (PH) di Johor Bahru baru-baru ini, Rafizi yang juga calon PH Parlimen Pandan memberi amaran kepada Azam jika gabungan itu memenangi PRU15 Sabtu ini.
BACA: PRU15: Kami akan soal siasat Azam Baki jika PH menang pilihan raya kata Rafizi
“Esok (hari ini) kita jumpa di mahkamah, lusa (Jumaat) satu hari lagi kempen, Sabtu kita mengundi. Lepas menang pilihan raya kami cari Azam Baki, insya-Allah.
“Saya tahu Azam Baki tengok ni! Saya harap bila Pakatan Harapan menang bila kami cari kamu, kamu jangan salahkan adik kamu sekali lagi,” katanya.
Justeru, Ismail Sabri mengingatkan rakyat agar tidak ‘dipatuk ular di lubang yang sama’ buat kali kedua.
“Buatlah pilihan tepat, nilailah sikap mereka.
“Rakyat mesti sedar PH sangat negatif, nilailah dengan sebaiknya. Tolaklah parti lain selain BN demi masa depan,” seru beliau. – DagangNews.com