KUALA LUMPUR 20 Okt - Pengerusi perhubungan UMNO negeri sudah mengemuka cadangan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), minggu lalu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembahagian kerusi dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) masih di peringkat perbincangan, lapor Berita Harian.
"Perbincangan masih diteruskan untuk memilih calon daripada UMNO. Belum selesai lagi. Kita ada banyak lagi pembahagian kerusi dengan komponen, masih dalam perbincangan.
"Pengerusi perhubungan sudah pun membentangkan cadangan mereka. Jadi kita akan buat penilaian," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian selepas merasmikan Pesta Mega Penjaja, Peniaga dan Usahawan Kecil Keluarga Malaysia 2022 di Dataran Merdeka di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.
Hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November depan sebagai hari pengundian bagi PRU15.
Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November, manakala hari pengundian awal pada 15 November. - DagangNews.com