UMP dijenama semula sebagai UMPSA Holdings mulai 1 September 2024 | DagangNews Skip to main content

UMP dijenama semula sebagai UMPSA Holdings mulai 1 September 2024

Pemandangan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)/ Gambar hiasan dari laman web rasmi universiti.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Sept - UMP Holdings dijenamakan semula UMPSA Holdings berkuat kuasa pada 1 September 2024.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMP Holdings Group, Syed Alwi Mohamed Sultan, langkah tersebut selaras dengan penjenamaan semula Universiti Malaysia Pahang (UMP) sebagai Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang telah berkuat kuasa pada 14 April 2023. 

 

Penjenamaan semula itu turut membabitkan ketiga-tiga anak-anak syarikat UMP Holdings Sdn Bhd. 

 

Sehubungan itu, UMP Services Sdn Bhd dijenamakan semula sebagai UMPSA Services Sdn Bhd, UMP Technology Sdn Bhd sebagai UMPSA Technology Sdn Bhd dan UCT Solutions Sdn Bhd sebagai UMPSA Consultancy Sdn Bhd.

 

Syaed Alwi berkata, pertukaran semua nama anak syarikat UMP Holdings Sdn Bhd kepada nama baharu itu turut berkuatkuasa hari Ahad (1 September 2024). 

 

Sementara itu, UMP Holdings Sdn Bhd dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah akan menganjurkan Persidangan Kedua “Rethinking the Future of Sustainability” (ReTHINK 2024) pada 11 dan 12 September 2024 di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur bertemakan “Emerging Trends in Smart Agriculture and Plantations”.

 

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir akan menyampaikan ucaptama pada pembukaan persidangan tersebut pada 12 September 2024.

 

Persidangan itu akan turut dihadiri Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN Malaysia yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Pahang, Tan Sri Mohamed Nazir Tun Abdul Razak.

 

Persidangan itu juga akan menampilkan pakar industri dan akademik terkemuka bagi membincangkan isu berkaitan keselamatan makanan, pertanian pintar dan inovasi teknologi dalam industri pertanian dan perladangan untuk memacu daya saing dan kemampanan.

 

Syed Alwi turut berkata, perbincangan dan pembentangan akan memberi fokus kepada peluang dan cabaran yang dihadapi oleh industri pertanian dan perladangan dalam mencapai pertumbuhan ekonominya serta perseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar dalam industri tersebut.

 

hhh
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMP Holdings Group, Syed Alwi Mohamed Sultan

 

Antara pakar industri dan akademik yang akan berkongsi idea dan perspektif mereka di persidangan dua hari itu ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Ts. Ahmad Ziad Sulaiman UMPSA; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tanah Makmur Bhd, Datuk Shahrul Nizam Abdul Aziz; Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Go, Affandi Mohd Isa; Pengarah Eksekutif Sekretariat Majlis Penasihat Ekonomi Negeri (MPEN) UMPSA, Mohd Ariff Ibrahim; Ketua Teknologi Pemprosesan SD Guthrie Research Sdn Bhd, Dr. Mohd Shiraz Aris; Pengarah, Penyelidikan & Pembangunan Ajmal Perfumes, Dr. Kanwal Deep; dan Ketua Pegawai Eksekutif, IBA Botanicals Inc, Benjamin Mead. 

 


Sementara itu, pakar industri lain yang akan turut mengupas isu menarik dalam persidangan tersebut ialah Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) UMPSA, Profesor Madya Dr. Nina Suhaity Azmi; Pengasas/Ketua Saintis, Qarbotech Sdn Bhd, Ts.Suraya Abdul Rashid; Ketua Pegawai Eksekutif Grasicili, Munir Ashim Abdullah; dan Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia, Datuk Dr. Ramle Kasin.- DagangNews.com