KUALA LUMPUR 14 Ogos - Unique Fire Holdings Bhd, memeterai perjanjian usaha sama (JVA) dengan Shanghai Mosafe Equipment Co Ltd bagi menubuhkan syarikat usaha sama, dikenali sebagai Unique Mosafe Sdn Bhd (UMSB) di Malaysia.
Menerusi JVA itu, Unique Fire akan mempunyai 60% pegangan pemilikan dalam syarikat itu, manakala baki 40% akan dimiliki oleh Shanghai Mosafe.
Unique Fire berkata, melalui kerjasama itu, UMSB akan mengeluarkan, mengedarkan, menjual dan membekalkan alat pemadam api di seluruh dunia.
"Di samping itu, anak syarikat milik penuh kami, Unique Fire Industry Sdn Bhd akan menerajui proses pengeluaran dan mengawasi operasi harian.
"Shanghai Mosafe pula akan menyediakan kepakaran teknikal dan perkongsian bagi memudahkan pensijilan Makmal Penaja Jamin yang berfungsi sebagai bukti kebolehpercayaan, kualiti dan pematuhan produk dengan peraturan keselamatan," ujarnya.
Pengarah Urusan Unique Fire Liew, Sen Hoi berkata, perkongsian strategik dengan Mosafe itu melengkapkan perniagaan terasnya dengan sempurna dari segi pemasangan, pengeluaran dan pengedaran sistem perlindungan kebakaran aktif, peralatan dan aksesori.
"Dengan memupuk kerjasama dengan Mosafe yang terkenal di pasaran antarabangsa memberi peluang untuk kami memperluaskan capaian kami kepada pelanggan di seluruh dunia, dengan Malaysia sebagai lokasi Utama di Asia Tenggara menyediakan pangkalan yang ideal untuk pengedaran cekap di rantau ini," ulas beliau.
Pada masa yang sama, beliau juga menekankan kepakaran Unique Fire dan Shanghai Mosafe dalam usaha membangunkan syarikat usaha sama itu.
“Dengan memanfaatkan kepakaran dan sumber daripada kedua-dua pihak, kami merancang untuk berinovasi dan menampilkan diri sebagai pemain utama dalam industri keselamatan kebakaran.
"Dengan memperoleh pensijilan Makmal Penaja Jamin itu, ia memastikan produk kami memenuhi piawaian keselamatan yang ketat.
"Sementara itu, Uniqueafe berkata, perkongsian itu merupakan petanda baik dalam prospek pertumbuhan jangka panjang kami sambil berusaha untuk mengembangkan kehadiran kami di pasaran serta meneroka pertumbuhan organik untuk meningkatkan aliran pendapatan kami," ujar beliau.- DagangNews.com