Untung bersih MHC Plantations susut 75.8% kepada RM6.53 juta pada 2QFY23 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih MHC Plantations susut 75.8% kepada RM6.53 juta pada 2QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Untung bersih MHC Plantations menyusut sebanyak 75.8% kepada RM6.53 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2023 (2QFY23) berbanding RM26.9 juta pada suku sama tahun lalu.

 

Pendapatan kumpulan itu juga susut kepada RM115.3 juta suku itu berbanding RM180.8 juta pada suku kedua 2022.

 

Penurunan ketara dalam hasil dan keuntungan sebelum cukai disebabkan terutamanya oleh penurunan harga jualan purata minyak sawit mentah (MSM), isirung sawit (PK), buah tandan segar (FFB) dan minyak tandan kosong (EFB) sebanyak 43% , 46%, 48% dan 39% masing-masing walaupun terdapat peningkatan dalam jumlah jualan BTS, MSM dan PK masing-masing sebanyak 9%, 6% dan 19%.

 

"Segmen perladangan mencatatkan penurunan ketara sebanyak RM17.1 juta berbanding RM21.13 juta kepada RM4.04 juta disebabkan oleh penurunan 48% dalam purata harga jualan BTS dan kos pengeluaran yang lebih tinggi pada suku semasa akibat penggunaan baja serta kos buruh yang lebih tinggi walaupun pengeluaran BTS meningkat sebanyak 9%.

 

"Penurunan keuntungan segmen pengeluaran minyak sebanyak RM5.43 juta (57%) daripada RM9.46 juta kepada RM4.03 juta disebabkan margin pemprosesan kilang yang lebih rendah manakala segmen loji tenaga mencatatkan penurunan RM2.03 juta (46%) daripada RM4.45 juta kepada RM2.42 juta disebabkan penurunan harga jualan minyak EFB sebanyak 39%," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu menjangkakan pengeluaran BTS meningkat pada tahun kewangan semasa yang berakhir 31 Disember 2023 berikutan lebih banyak kawasan tanam semula mencapai kematangan dan peningkatan dalam kekurangan tenaga kerja.

 

"Harga MSM dijangka kekal kukuh pada separuh kedua 2023 memandangkan pengeluaran yang lebih rendah daripada jangkaan di Malaysia dan Indonesia di tengah-tengah konflik Rusia-Ukraine yang berpanjangan.

 

"Kumpulan terus menumpukan pada meningkatkan kecekapan kos, meningkatkan hasil dan meningkatkan produktiviti," katanya.- DagangNews.com