Untung bersih Petronas Chemicals menjunam 74% kepada RM532 juta pada suku pertama 2023 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Petronas Chemicals menjunam 74% kepada RM532 juta pada suku pertama 2023

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 29 Mei - Keuntungan bersih Petronas Chemicals Group Berhad (Petronas Chemicals) telah menjunam 74% kepada RM532 juta dalam suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) daripada RM2.08 bilion bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Hal demikian adalah berikutan penurunan harga purata produk, terutamanya urea, ditambah dengan kos utiliti dan bahan api yang meningkat.

 

Sementara itu, pendapatan kumpulan pada suku dalam tinjauan meningkat kira-kira 14% kepada RM7.6 bilion berbanding RM6.6 bilion suku pertama 2022.

 

Pendapatan kumpulan telah didorong oleh sumbangan daripada anak syarikat baharu diambil alih dan volum jualan yang lebih tinggi, sebahagiannya diimbangi oleh harga produk yang lebih rendah.

 

Kumpulan itu turut mencatat kejatuhan pendapatan sesaham (EPS) kepada 7 sen berbanding 26 sen sebelumnya.

 

Mengulas mengenai keputusan tersebut, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif, Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata sektor kimia secara keseluruhan masih kekal berhati-hati memandangkan harga tenaga masih tidak menentu walaupun terdapat beberapa pergerakan yang menggalakkan di daerah tertentu pada suku pertama.

 

 

Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof
Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof

 

 

Kos operasi juga semakin meningkat akibat inflasi pada gas dan bahan api yang menyebabkan kenaikan kos tenaga dan utiliti, seterusnya mengurangkan lagi kadar penyebaran produk dan menambah tekanan kepada margin, tambahnya.

 

Bagaimanapun, beliau berkata kos gas dan utiliti dijangka menurun pada suku-suku akan datang.

 

“Kami terus berhati-hati terhadap prospek bagi tahun 2023 berikutan perkembangan terkini sektor perbankan Amerika Syarikat dan potensi kesannya terhadap ekonomi global, serta konflik berpanjangan Rusia-Ukraine dan pemulihan China yang lebih perlahan daripada jangkaan,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

Dalam jangka masa terdekat, beliau berkata kumpulan itu akan memberi tumpuan  bagi memastikan kelancaran operasi loji yang optimum dan kecemerlangan komersial untuk mengurangkan impak kemelesetan ekonomi akan datang.

 

Bagi jangka masa panjang pula, Mohd Yusri berkata industri kimia dijangka mengekalkan kadar pertumbuhan sebanyak 3% setiap tahun, didorong oleh kenaikan penggunaan daripada pelbagai industri yang semakin berkembang termasuk farmasi, automotif dan pembinaan.

 

“Petronas Chemicals telah membuat perancangan lanjut untuk pelan pertumbuhannya yang lestari melalui rantaian nilai bahan kimia asas dan khusus bagi memenuhi permintaan pada masa akan datang,” katanya. -DagangNews.com