IPOH 2 Nov - Pertukaran calon Parlimen Barisan Nasional (BN) Larut yang sepatutnya ditandingi pendakwah bebas, Datuk Mohamad Kazim Elias atau Ustaz Kazim bertukar apabila beliau menarik diri.
Ustaz Kazim dikatakan memaklumkan penarikan diri itu kepada kepimpinan BN pada pukul 1 lagi tadi.
Dalam hantaran di laman Facebooknya, Ustaz Kazim berkata, "Alhamdulillah. Semoga kutukan cercaan hinaan bertukar menjadi pahala. Terima kasih. Sayangilah pahala anda".
Pengerusi BN negeri Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memberitahu, pihaknya hanya dimaklumkan mengenai perkara itu pagi tadi dan perlu meletakkan calon lain.
"Saya tidak ada maklumat atau alasan bertukar kerana Ustaz Kazim telah pun bersetuju apabila diberitahu namanya sebagai calon pada petang semalam.
"Watikah pencalonan pun telah ditandatangani sebelum pengumuman dibuat oleh Presiden BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Kuala Lumpur
"Pukul 1 pagi dia maklum tarik diri. Tentang alasan itu pula kena tanya dia," ujarnya ketika ditemui pemberita.
Calon BN Parlimen Larut diganti Ketua Komunikasi BN, Mohd. Shafiq Fhadly Mahmud, 37, yang merupakan anak tempatan.
Penggantian tersebut diumumkan Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada pengumuman calon BN negeri hari ini.
Dengan pertukaran ini menyaksikan Mohd. Shafiq Fhadly berdepan Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang merupakan penyandang kerusi itu manakala Pakatan Harapan meletakkan Zolkarnain Abidin.
Selain Larut, dua kerusi Parlimen BN di Perak pada PRU15 menarik perhatian apabila meletakkan calon yang tidak dijangka.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki akan bertanding di Parlimen Gerik yang merupakan kubu kuat BN.
Pada PRU lepas beliau bertanding di Parlimen Pasir Puteh, Kelantan tetapi tewas.
Parlimen Pasir Salak pula ditandingi Datuk Khairul Azwan Harun atau lebih dikenali sebagai Azwan Bro yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak.
Ini apabila penyandangnya, Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Ramli yang merupakan calon heavyweight UMNO tidak dicalonkan.
Sebelum ini cakap-cakap menyebut Azwan hendak dicalonkan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik dalam Parlimen Pasir Salak.
Sementara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kekal bertanding di Bagan Datuk manakala Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah di Tambun.
Saarani pula mempertahankan DUN Kota Tampan yang dimenangi selama empat penggal. - DagangNews.com