Wellspire dilantik sebagai pengedar eksklusif Cundo Cake di Malaysia, Singapura dan Thailand | DagangNews Skip to main content

Wellspire dilantik sebagai pengedar eksklusif Cundo Cake di Malaysia, Singapura dan Thailand

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Julai - Wellspire Holdings Bhd, pengedar makanan konsumer berbungkus di Thailand, mengumumkan anak syarikat milik penuhnya di Malaysia, Wellspire Global Trading Sdn Bhd dilantik sebagai pengedar eksklusif produk Cundo Food Co. Ltd’s di Malaysia, Singapura dan Thailand.

 

Dengan perjanjian ini, Wellspire terus mengukuhkan kedudukannya di pasaran serantau dengan membina portfolio besar makanan ringan dan meluaskan aliran perolehan syarikat. 

 

Wellspire juga akan memiliki hak pengedaran eksklusif untuk mengedar produk kek bersalut coklat Cundo di rantau yang ditetapkan. 

 

Sebagai permulaan, produk diedarkan di seluruh rantau ini merangkumi Cundo Cake perisa susu, strawberi raspberi dan coklat. Perjanjian ini, yang merupakan hak pengedaran pertama Wellspire di luar Thailand, akan sah selama tiga tahun, bermula 13 Julai 2023 sehingga 12 Julai 2026.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Wellspire, Mo Guopiao berkata, pihaknya amat teruja memperoleh pengedaran eksklusif pertama bagi rantau ini dan amat menghargai kepercayaan dan keyakinan Cundo terhadap keupayaan mereka untuk mengembangkan jenama di Malaysia, Singapura dan Thailand.

 

"Pencapaian penting ini akan meletakkan kami dalam kedudukan yang lebih baik ke arah menjadi satu daripada syarikat makanan pembungkusan pengguna terkemuka di rantau ASEAN," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Menurut Mo, penyedia data pasaran dan pengguna terkemuka, Statista melaporkan pendapatan dalam segmen makanan ringan di Malaysia dan Singapura dijangka berjumlah kira-kira AS$3.4 bilion (RM15.86 bilion) dan AS$336.9 juta (RM1.57 bilion), masing-masing pada 2023. Pasaran dijangka berkembang setiap tahun sebanyak 7.9% dan 5.41 (CAGR 2023-2028).

 

 

wellspire
                                          Mo Guopiao

 

 

Pengerusi Cundo, Chen Hongjie berkata, permintaan terhadap makanan ringan yang sihat dan berkualiti di Malaysia, Singapura dan Thailand semakin meningkat. 

 

"Produk kami telah melalui penyelidikan dan pembangunan yang meluas untuk memastikan kualiti dan rasa mereka memenuhi permintaan pengguna kami. Oleh itu, kami yakin penduduk tempatan akan menikmatinya.

 

 

wellspire

 

 

“Selain itu, kami percaya rangkaian dan sambungan Wellspire dalam pasaran tempatan akan dapat memberikan hasil yang mantap. Kami tidak sabar-sabar untuk bekerjasama dengan Wellspire bagi memperkenalkan lebih banyak produk Cundo kepada rakyat Malaysia, Singapura dan Thailand pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com