IPOH 14 Sept - Lebih banyak stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) akan dibina di bandar raya ini bagi menyediakan kemudahan tersebut sesuai dengan trend pemilikan kenderaan EV.
Ini antara perkara yang terkandung dalam kerjasama strategik dimeterai syarikat telekomunikasi XOX Berhad (XOX) dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Pengarah Eksekutif XOX Berhad, Roy Ho berkata, pihaknya merancang untuk mewujudkan 50 hingga 200 stesen pengecasan EV secara berperingkat-peringkat di Ipoh.
Katanya, bagaimana pun ia bergantung kepada jumlah penggunaan kenderaan EV yang ada di Ipoh selain kesesuaian lokasi.
"Difahamkan ketika ini terdapat kira-kira 300 EV yang digunakan di bandar raya ini.
"Perancangan kita adalah membina antara 50 hingga 200 stesen secara berperingkat hingga mencukupi untuk keperluan warga Ipoh," ujarnya.
Terdahulu, memorandum persefahaman (MoU) bagi kerjasama ini dimeterai antara Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Roy Ho yang mewakili XOX.
Menjelaskan lebih lanjut kata Roy Ho, MoU yang dimeterai ini adalah fasa awal yang mana perkara selanjutnya akan dibincangkan pada peringkat kumpulan kerja nanti.
"Kita belum putuskan berapa jumlah pelaburan yang akan dibuat kerana MoU ini adalah peringkat asas persetujuan.
"Jadi, perkara selanjutnya akan dibawa dalam perbincangan lain yang mana hasilnya akan kita umumkan nanti," ujarnya.
Sementara itu, Rumaizi berkata, persetujuan yang dimeterai ini adalah susulan pada MoU kedua-dua pihak pada 24 Mei 2022.
Katanya, kerjasama itu turut melibatkan kemudahan lain termasuklah meningkatkan taraf pengangkutan awam melalui aplikasi elektronik digital. - DagangNews.com