KUALA LUMPUR 9 Ogos - CGS-CIMB Research menjangkakan Yinson Holdings Berhad akan mengambil pinjaman baharu bagi membiayai sebahagian ekuiti kapal terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) Agogo dengan jumlah perbelanjaan modal (capex) sebanyak AS$1.8 bilion.
Firma penyelidikan itu berkata, penyewa Eni membiayai AS$500 juta melalui bayaran pendahuluan, dengan AS$1 bilion mungkin dibiayai oleh hutang pembiayaan projek, meninggalkan Yinson untuk membiayai bahagian ekuiti AS$300 juta melalui pinjaman berjangka.
Katanya, Yinson kini sedang mengatur pembiayaan untuk Agogo.
"Pinjaman ekuiti untuk kedua-dua FPSO Maria Quiteria (MQ) dan Agogo membawa kadar faedah yang tinggi, tetapi berkemungkinan lebih rendah daripada unjuran kos ekuiti kami sebanyak 11.2% untuk projek baharu.
"Unjuran semasa kami telah mengambil kira pinjaman ekuiti untuk MQ dan Agogo," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
BACA JUGA: Yinson Production peroleh pembiayaan RM1.05 bilion bagi FPSO Maria Quitéria
https://www.dagangnews.com/article/yinson-production-peroleh-pembiayaan-rm105-bilion-bagi-fpso-maria-quiteria-29032
Firma penyelidikan itu membuat unjuran bahawa FPSO Agogo siap pada pertengahan 2025 dan permulaan piagam 15+5 tahun dari awal 2026.
"Kami menjangkakan FPSO Atlanta akan disiapkan pada lewat 2023 dan memulakan piagam 15+5 tahunnya dari pertengahan 2024," katanya.
FPSO Atlanta akan menanggung jumlah perbelanjaan sebanyak AS$475 juta, dengan Yinson melaksanakan pembiayaan dalaman sebanyak AS$95 juta (20%) dan penyewa Enauta membiayai AS$380 juta (80%) melalui pinjaman 15 tahun pada kadar faedah menarik sebanyak 6% setahun.
CGS-CIMB Research menjangkakan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) 2QFY24 kumpulan itu mengatasi RM208 juta yang dicatatkan pada 1QFY24.
Firma itu mengekalkan penarafan 'tambah' pada harga sasaran (TP) RM3.57 sesaham.- DagangNews.com