KUALA LUMPUR 28 Ogos - Zurich General Insurance Malaysia Bhd dan GXBank Bhd melancarkan produk insurans digital inovatif, Cyber Fraud Protect bagi melindungi pelanggan daripada kerugian kewangan akibat penjenayah siber atau mesej penipuan elektronik.
Insurans digital yang ditawarkan dalam aplikasi GXBank dan dikuasakan oleh platform Zurich Edge itu merupakan kerjasama bankansurans yang ditubuhkan pada Mei 2024.
Dalam satu kenyataan hari ini, kedua-dua pihak berkata, insurans tersebut menawarkan perlindungan kepada pelanggan daripada kerugian kewangan akibat pemindahan elektronik tanpa kebenaran dari mana-mana akaun bank tempatan, e-dompet, kad kredit atau debit dan menyediakan perlindungan penting terhadap ancaman siber yang semakin meningkat.
Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Zurich Malaysia, Junior Cho berkata, Cyber Fraud Protect merupakan produk selaras dengan kempen jenamanya, ‘Lindungi Segala Perkara Yang Bermakna’ (Care For What Matters), dengan menyediakan perlindungan penting dalam dunia digital yang berkembang.
"Fokus utama kami adalah memastikan pengalaman pelanggan yang lancar dan positif dan melalui platform Zurich Edge, kami memberikan pembelian dalam aplikasi yang mudah dan lancar untuk pelanggan GXBank," ujar beliau.
Ketua Pegawai Eksekutif GXBank, Pei-Si Lai berkata, pelancaran insurans Cyber Fraud Protect sejajar dengan misi berterusan bank untuk membina daya tahan kewangan yang lebih baik bagi pelanggan Malaysia.
"Pelancaran produk insirans digital itu merupakan usaha berterusan kami memastikan rakyat Malaysia mendapat akses kepada literasi kewangan, keselamatan digital dan perkhidmatan kewangan.
"Cyber Fraud Protect bukan sahaja menawarkan jumlah perlindungan tinggi sehingga RM20,000 terhadap kerugian akibat transaksi tanpa kebenaran daripada jenayah siber, tetapi juga perlindungan yang merangkumi semua akaun bank tempatan, kad debit, kad kredit dan e-dompet di luar ekosistem GXBank," ulasnya.- DagangNews.com