Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Idea Digital - 27 July 2021

Bagaimana Membuat Persediaan Sebelum Membina Strategi Pemasaran?

Kehebatan kita di media sosial juga lama-lama akan goyang sekiranya kita sendiri tidak bersedia

 

 

SAMA ada kita semua ada perasan ataupun tidak, terdapat pelbagai istilah atau jenis pemasaran di luar sana. Ada pemasaran digital, pemasaran media sosial, pemasaran Facebook, pemasaran kandungan, pemasaran SEO, pemasaran influencer, pemasaran affiliate, pemasaran e-mel, pemasaran berbayar dan beberapa nama lain lagi.

 

Kita semua juga tahu yang setiap jenis pemasaran tadi memerlukan pengetahuan, kepakaran dan pengalaman yang berbeza. Sekiranya kita masih kabur tentang ini, mungkin tiba masanya untuk kita mula belajar tentang asas pemasaran terlebih dahulu dan kemudiannya terus ke subjek-subjek yang lebih komplek di atas.

 

Tanpa pengetahuan asas, kita tidak mungkin akan dapat memahami dengan lebih mendalam setiap istilah tadi dan bagaimana ia akan dapat membantu kita mencapai objektif yang dikehendaki. Bagi mendapatkan pengetahuan asas tentang pemasaran, boleh klik di sini.

 

Sebelum kebangkitan internet, dahulu pemasaran hanya terikat dengan kaedah tradisional sahaja. Apabila kita terdengar sahaja pemasaran tradisional, kita akan terbayang seorang eksekutif yang berpakaian kemas dengan beg yang berisi katalog yang menerpa ke arah sesiapa sahaja yang diingininya untuk membuat promosi.

 

Ataupun iklan-iklan yang terpampang di televisyen dan yang kedengaran di radio. Mungkin kita juga teringat akan iklan-iklan yang terpacak di papan-papan tanda di tepi jalan, poster yang diletakkan di kedai-kedai, di suratkhabar dan juga majalah.

 

Yang paling kita benci sekali adalah ketika kita tengah seronok menikmati pisang goreng dan kopi pada waktu petang, ada pula individu yang tidak dikenali tiba-tiba menelefon kita ingin menjual itu dan ini terutamanya produk-produk kewangan. Itu cerita dahulu, cerita bagaimana mereka cuba mendapatkan perhatian para pengguna pada era sebelum era internet.

 

Apabila kita bercakap tentang pemasaran, pengalaman pengguna pada zaman internet yang serba canggih hari ini banyak berubah. Pendekatan sangat berbeza. Memandangkan mata dan telinga pengguna banyak dihabiskan di hadapan peranti mudah alih dan komputer, strategi mendapatkan perhatian mereka melalui pemasaran juga berubah mengikut peredaran selera mereka.

 

Senario ini telah membuka ruang kepada setiap pemasar untuk menggunakan platform yang pelbagai atau omni-channel. Dan dengan adanya Google, Facebook, Twitter, LinkedIn, Instagram, Pinterest, YouTube, TikTok, Snapchat, Canva, Photoshop, Premier Pro, MailChimp, Linktree, Medium, Marketing In Asia, Semrush, CoSchedule, Cyfe, Zoom, Microsoft Teams dan lain-lain, menjadikan keadaan semakin keliru kepada setiap jenama dan pemasar – platform yang mana satu yang penting, yang harus diutamakan dan yang perlu diberikan perhatian khusus?
 

idea

Bukan itu sahaja, kini wujud pula pelbagai jenis kelas-kelas pemasaran sedang hebat dianjurkan oleh pelbagai syarikat dan individu yang mahir tentang pemasaran.

 

Di media-media sosial, masing-masing siang dan malam sibuk memburu sesiapa sahaja yang ingin belajar bagaimana sesuatu bentuk pemasaran itu dilakukan, bagaimana menggunakan kaedah-kaedah yang akan diajar itu untuk mereka berjaya, sama seperti yang individu-individu telah pun berjaya yang terpampang pada poster-poster mereka.

 

Ini juga menjadikan keadaan semakin bercelaru. Kelas yang mana satu yang perlu kita daftar? Adakah kita membuat keputusan yang tepat dengan mendaftar untuk belajar dalam kelas berkenaan, dan adakah ia benar-benar berbaloi? Ini semua persoalan yang bermain dalam fikiran kita semua.

 

Bagi menjawab dilema ini, kita sebagai pemilik jenama atau sebagai seorang profesional yang bertanggungjawab membina strategi pemasaran untuk sesuatu jenama itu, perlu terlebih dahulu tahu bagaimana untuk membuat persediaan yang benar-benar rapi.

 

Apakah persediaannya? Terdapat enam perkara penting yang perlu kita jawab dan dimasukkan ke dalam dokumen, iaitu:

  1. Kualiti produk yang baik.
  2. Harga produk yang bersesuaian.
  3. Pengalaman pengguna ketika menggunakan produk perlu baik juga.
  4. Pengalaman pengguna sewaktu berurusniaga dengan syarikat juga baik.
  5. Proses-proses dalaman syarikat yang jelas dan mudah difahami.
  6. Individu-individu yang bertanggungjawab dalam setiap proses yang ada juga jelas.

 

Bayangkan situasi ini. Kita mempunyai strategi pemasaran yang hebat, permainan media sosial kita juga tidak kurang hebatnya, pengikut kita di media sosial pula beratus-ratus ribu, dan kita juga mempunyai kualiti video dan gambar-gambar yang menarik tetapi kualiti produk kita sendiri pula tidak seberapa.

 

Promosi kita bukan main dahsyat lagi tetapi harga produk kita terlalu mahal. Ataupun, kita telah berjaya mendapatkan puluhan agen-agen untuk menjual produk kita tetapi setiap masalah yang mereka hadapi tidak dapat kita selesaikannya dengan baik. Persoalannya sekarang, adakah perkara-perkara asas ini boleh menjejaskan pemasaran kita?

 

Jawapannya, ya.

 

Pembeli sebenarnya bukan membeli disebabkan oleh pemasaran kita semata-mata tetapi kerana kualiti produk kita, kerana harga produk kita sangat berpatutan, kerana pengalaman mereka amat manis ketika menggunakan produk kita, kerana pengalaman mereka amat manis ketika berurusan dengan kita, kerana mereka senang berurusan dengan syarikat kita tidak kira siapa pun yang mereka hubungi dan juga kerana mereka sangat faham bagaimana syarikat kita beroperasi.

 

Jadi, pastikan kita selesaikan dahulu setiap perkara dalaman dahulu untuk memudahkan kita menyusun strategi pemasaran nanti.

 

Saya percaya, strategi pemasaran yang baik akan terhasil apabila model perniagaan kita juga baik. Dengan kata lain, pada era ini ia bukan semata-mata hanya untuk memasarkan produk dan perkhidmatan sahaja penting. Ia sebenarnya lebih mendalam dari itu.

 

Setelah kita selesaikan setiap aspek persediaan tadi, kita perlu tahu bagaimana menjawab soalan-soalan rumit ini pula. Langkah ini merupakan langkah terakhir persediaan kita sebelum kita melangkah ke arah pembuatan strategi pemasaran.

  1. Apakah perniagaan kita?
  2. Apakah masalah pengguna yang kita cuba selesaikan ini?
  3. Apakah beza dan kelebihannya berbanding dengan jenama produk yang mereka gunakan sekarang?
  4. Mengapa mereka perlu membeli dari kita, dan berhenti menggunakan produk yang digunakan sekarang?
  5. Mengapa kita yakin yang produk kita akan diterima baik oleh pasaran?

 

Kita perlu faham, bukan mudah untuk menukar tabiat seseorang itu. Setiap daripada mereka hampir pasti menggunakan pelbagai jenis produk dari pelbagai jenis jenama yang sudah ada di pasaran dalam kehidupan seharian.

 

Dan setiap jenama ini mereka sudah pun yakin dan percaya dengan kualiti yang ada, sebab itu mereka memilih jenama tersebut dan bukan jenama lain untuk digunakan.

 

Oleh itu, untuk membuatkan mereka tukar kepada jenama produk kita yang masih baharu ini tidak begitu mudah. Para pengguna pada hari ini tidak lagi seperti dahulu. Kini, maklumat hanya di hujung jari sahaja. Mereka tidak hanya memandang permainan pemasaran kita semata-mata, tetapi lebih dari itu. Jadi strategi pemasaran yang kukuh sahaja tidak mencukupi.

 

Kepakaran kita yang hebat di Facebook atau YouTube sahaja tidak akan mencukupi sekiranya produk kita hancur kualitinya, proses dalaman syarikat masih lagi kelam-kabut dan para pekerja kita masih lagi angkuh ketika berinteraksi dengan pelanggan.

 

Kesimpulannya mudah, kenali perniagaan kita terlebih dahulu dengan benar-benar terperinci. Gunakan Analisis SWOT jika perlu.

 

idea

 

Dan sediakan juga jawapan-jawapan yang jelas kepada setiap persoalan besar di atas yang bakal menentukan kekuatan model perniagaan kita sendiri. Persediaan awal ini penting sebelum kita bercadang untuk mendaftar apa jua jenis kelas pemasaran yang ada di luar sana.

 

Kita juga boleh menggunakan format Lean Startup Canvas yang turut mempunyai beberapa soalan lain yang akan membantu. Dokumenkan perancangan agar kita boleh ‘nampak’ gambaran sebenar dengan lebih jelas lagi dan perbaiki kelemahan-kelemahan yang ada.   - DagangNews.com

 

 

Azleen Abdul Rahim adalah seorang pakar strategi pemasaran, juga penulis di blog Tanarata dan kini kolumnis DagangNews.com menerusi kolum IDEA DIGITAL setiap Selasa.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI IDEA DIGITAL

 

 

Portfolio Tags