Bagaimana menentukan FCPO yang patuh syariah? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 24 May 2022

Bagaimana menentukan FCPO yang patuh syariah?

 

MINGGU lepas, penulis ada disoal oleh seorang remisier saham dan futures. Ini soalannya :

 

“Saya merupakan seorang remisier saham dan futures. Saya mempunyai beberapa persoalan berkaitan hukum dalam trading saham dan futures yang mana saya telah bertanya pihak Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti(SC) tetapi belum mendapat sebarang maklum balas. Sebagai seorang remisier muslim saya mahu pastikan bahawa klien saya difahamkan tentang hukum-hakam sebelum terlibat dalam mana-mana produk pelaburan. 

 

"Untuk makluman, penglibatan umat Islam di Malaysia dalam pasaran masa hadapan terutamanya produk Crude Palm Oil Futures (FCPO) semakin meningkat dan ini merupakan suatu perkembangan yang sihat. Walaupun produk FCPO sudah dinyatakan patuh syariah oleh MPS SC, namun masih terdapat banyak persoalan dalam kalangan peserta pasaran hadapan berkenaan status hukum berdagang di dalam pasaran ini dan tidak dinyatakan secara terperinci oleh pihak berautoriti. 

 

"Antaranya termasuk, hukum 'short' di dalam FCPO, hukum dagangan menggunakan margin dan juga hukum ‘trade spread’ di antara kontrak FCPO yang berlainan. Tambahan pula, saya belum berjumpa dengan Islamic Trading Account untuk futures di Malaysia. Oleh itu, walaupun MPS SC sudah nyatakan bahawa FCPO patuh syariah, saya diberitahu ia tetap bergantung kepada syarikat broker untuk melaksanakan proses mengikut prosedur (SOP) yang patuh syariah. Jika SOPnya adalah SOP ‘konvensional’, adakah ia tak patuh syariah?"

 

 

JAWAPAN PENULIS :

 

FCPO ialah kontrak derivatif antara pembeli dan penjual untuk menerima penghantaran dan membuat penghantaran minyak sawit mentah (CPO) pada tarikh akan datang. 

 

Ia adalah kontrak yang diselesaikan di mana penerimaan dan penghantaran CPO adalah secara fizikal pada tarikh yang dipersetujui. 

 

Ini bermakna selepas tamat kontrak, pembeli dan penjual perlu menerima dan membuat penghantaran CPO masing-masing secara fizikal.

 

MPS SC akan mengeluarkan resolusi kepatuhan secara am setelah setiap isu diselidik secara kuantitatif dan kualitatif oleh para ahli majlis, termasuk status FCPO ini. 

 

Aplikasi dan transaksi FCPO ini akan mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh syarikat pelaburan di mana SOP tersebut diluluskan oleh penasihat syariah syarikat yang berdaftar dengan SC.

 

Syarikat pelaburan mesti melantik penasihat syariah yang berdaftar dengan SC ini untuk terus memantau perjalanan aktiviti pelaburan yang dibuat, termasuk mematuhi SOP yang telah disediakan. 

 

SOP 'konvensional' yang sedia ada juga boleh digunakan kerana di dalamnya terdapat banyak perkara teknikal tentang susun cara pelaburan termasuk FCPO. 

 

Cumanya, penulis menyarankan pihak syarikat supaya menambah beberapa bab tambahan dalam SOP tersebut untuk memastikan ia menepati kehendak syariah dan memenuhi tadbir urus yang disediakan oleh MPS SC. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm

Portfolio Tags