Bagaimana sekuriti di Bursa Malaysia boleh hilang status patuh syariah? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 9 November 2021

Bagaimana sekuriti di Bursa Malaysia boleh hilang status patuh syariah?

 


DI MALAYSIA, tanggungjawab mengisytiharkan sekuriti yang diapungkan di Bursa Malaysia adalah di bawah Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SACSC). Pengisytiharan kepatuhan sesuatu sekuriti tersebut dibuat 2 kali setahun, iaitu, pada setiap hari Jumaat terakhir Mei dan November setiap tahun. Untuk bulan ini, ia akan diwartakan pada Jumaat, 26 November.

 


Apa yang akan berlaku ialah terdapat sekuriti-sekuriti yang kini diklasifikasi sebagai patuh syariah akan bertukar status kepada sekuriti tidak patuh syariah. Juga, akan terdapat juga sekuriti-sekuriti yang kini tidak patuh syariah, akan menjadi patuh syariah.

 

Pertukaran status yang bakal diisytihar oleh SACSC adalah hasil daripada proses saringan yang dibuat berdasarkan kepada beberapa lapisan saringan secara kuantitatif dan kuantitatif. 

 

Antara sebab-sebab utama yang menyebabkan pertukaran status patuh syariah kepada tidak patuh syariah ini adalah disebabkan pendapatan syarikat tersebut dari sumber yang haram seperti faedah telah melebihi paras yang dibenarkan oleh SACSC. 

 

Penggabungan syarikat dengan syarikat yang teras aktiviti perniagaan mereka bertentangan dengan syariah juga menjadi punca pertukaran status ini. 

 

 

SC
Suruhanjaya Sekuriti menjadi badan penyelia dalam industri pasaran modal di Malaysia.

 

 

SACSC juga melihat kepatuhan syariah sesuatu sekuriti secara kualitatif. Ia adalah satu kaedah yang unik diilhamkan oleh SACSC kerana mereka telah diberi mandat oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk membuat saringan yang tepat. 

 

SC adalah badan penyelia dalam industri pasaran modal yang telah diberi mandat oleh kerajaan untuk mengawalselia pemain-pemain kewangan dalam pasaran modal di Malaysia. 

 

Sebelum memutuskan sesuatu sekuriti itu patuh syariah, SACSC akan melihat dan mempertimbangkan kriteria-kriteria berikut secara kualitatif, antaranya, imej yang bersangkutan dengan pandangan umum masyarakat mengenai imej syarikat perlulah baik dan menyenangkan. 

 

Selain itu, aktiviti teras syarikat juga diperhatikan oleh SACSC seperti perlu ada kepentingan serta kebaikan secara umum kepada umat Islam.

 

Ia juga termasuklah unsur-unsur yang tidak menepati syariah dalam aktiviti syarikat adalah sukar dielakkan serta amat kecil dan boleh dimaafkan dan amalan kebiasaan/adat dan hak-hak masyarakat bukan Islam (yang diperaku oleh Islam) juga perlu dipertimbang. 

 

Kemungkinan akan ada juga dalam kalangan sekuriti yang bertukar status kepada tidak patuh syariah disebabkan oleh gagal menepati imej dan aktiviti teras syarikat kualitatif seperti di atas. - DagangNews.com

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm

 

Portfolio Tags