Bajet 2022: Kerajaan pilih kasih? - Sin Chew Jit Poh | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 13 November 2021

BAJET 2022: KERAJAAN PILIH KASIH? 

Sin Chew Jit Poh, 11 Nov 2021

 

 

BAJET 2022 mula dibahaskan di Dewan Rakyat pada Isnin lepas. Isu peruntukan untuk Bumiputera dan bukan Bumiputera menjadi satu daripada topik kontroversi dalam kalangan Ahli Parlimen.

 

Kerajaan telah memperuntukkan RM11.4 bilion bagi melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah payung pembangunan Bumiputera dalam usaha untuk merapatkan jurang antara Bumiputera dengan kaum yang lain.

 

Bagaimanapun, Ahli Parlimen yang bersuara mewakili bukan Bumiputera mula mempersoalkan pengagihan peruntukan dana yang tidak sekata ini.

 

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata bukan Bumiputera hanya menerima tidak lebih daripada 0.1% daripada peruntukan kali ini. Menteri Kewangan hanya menyebut dengan ringkasnya sejumlah RM200 juta kepada masyarakat Cina untuk program baik pulih rumah dan kemajuan kampung baharu.

 

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Sim Chee Keong turut mengkritik kerajaan yang begitu jelas sekali pilih kasih terhadap satu kaum sahaja dalam peruntukan bajet ini. Jauh bertentangan dengan slogan “Keluarga Malaysia” yang dicanangkan oleh kerajaan.

 

Penasihat ekonomi bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, Muhammed Abdul Khalid secara terang-terangan berkata bahawa Bajet 2022 adalah tidak adil kerana terdapat jurang yang besar antara peruntukan Bumiputera dan bukan Bumiputera.

 

Beliau berpendapat bajet yang bertemakan “Keluarga Malaysia Makmur Sejahtera” tidak mencapai matlamat keadilan. “Memang ramai orang Cina yang kaya, tetapi ramai juga yang miskin. Adakah kita benar-benar adil?”

 

Setiap kaum di dalam masyarakat Malaysia, pastinya ada yang kaya dan miskin, berpendapat rendah (B40), berpendapatan sederhana (M40) dan berpendapatan tinggi (T20). Ini adalah fakta yang tidak boleh dipertikaikan. Malah ada penduduk yang tinggal di kawasan bandar terpaksa hidup dengan beban.

 

 

zafrul
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz membentangkan Bajet 2022 di Parlimen pada 29 Oktober 2021.

 

 

Walaupun Bumiputera telah menerima peruntukan yang agak besar dalam bajet kali ini, Ahli Parlimen UMNO Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman menggesa kerajaan memperkenalkan satu lagi dasar baharu yang boleh menjayakan matlamat membangunkan ekonomi Bumiputera. Jika tidak 50 tahun akan datang, orang Melayu akan terus mundur seperti hari ini.

 

Bagi Presiden MCA, Wee Ka Siong pula menyangkal khabar angin mengatakan masyarakat Cina hanya menerima RM200 juta. Beliau berkata hampir 20% kaum Cina turut menerima manfaat daripada skim pembiayaan Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan bantuan keluarga B40 yang telah disediakan oleh kerajaan.

 

Wabak tidak mengenal sempadan, apatah lagi status bangsa. Perdana Menteri Ismail Sabri pernah berkata, krisis COVID-19 ini telah menyebabkan lebih daripada 600,000 isi rumah dari golongan berpendapatan M40 tergelincir ke dalam kategori B40. Begitu juga kadar pengangguran meningkat dengan mendadak.

 

Oleh itu dalam bajet ini, kerajaan telah mencadangkan Cukai Makmur yang dikenakan secara “one-off” kepada syarikat yang menjana pendapatan tinggi untuk meningkatkan hasil kerajaan. Tetapi kerajaan perlu memastikan hasil cukai tersebut digunakan dengan bijak agar ekonomi negara yang terjejas akibat wabak ini dapat pulih segera.

Bajet 2022

Bajet 2022 sebenarnya adalah bajet kedua sejak wabak COVID-19 menyerang, dan rakyat kita masih belum pulih sepenuhnya daripada krisis ini. Ramai usahawan PKS terpaksa “gulung tikar”, dan  ada keluarga yang berdepan dengan masalah kekurangan makanan masih mencari jalan keluar demi kelangsungan hidup.     

 

Walaupun kerajaan masih memberi bantuan dan ganjaran kepada golongan yang memerlukan seperti tahun-tahun yang lepas, selain turut melaburkan lebih banyak sumber untuk memerangi wabak. Kerajaan masih juga membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk menjanakan dasar ekonomi Bumiputera.

 

Keadaan ini telah menyebabkan kaum lain terutamanya bukan Bumiputera yang turut memerlukan bantuan rasa terpinggir malah menganggap kerajaan “pilih kasih”.

 

Pemulihan selepas COVID-19 bukan baru dilaksanakan semalam, bajet yang bertemakan “Keluarga Malaysia” tidak sepatutnya membuat kaum lain rasa terpinggir. Jika anda juga rasa kerajaan pilih kasih, maknanya Bajet 2022  masih jauh dari semangat “Keluarga Malaysia”. 

 

 

Rencana ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh, 11 November 2021 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

 

Portfolio Tags