Bajet 2023 Perlu Memenuhi Keperluan Rakyat | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 10 August 2022

Bajet 2023 Perlu Memenuhi Keperluan Rakyat

 

 

 

KERAJAAN menerusi Kementerian Kewangan (MOF) kini sedang sibuk dalam proses penyediaan bajet tahunan negara iaitu Bajet 2023.

 

Bajet 2023 yang bakal diumumkan nanti adalah Bajet yang agak penting buat kerajaan dan rakyat.

 

Dalam cabaran kelangsungan hidup pasca pandemik di tambah pula dengan kos sara hidup yang sangat tinggi, pastinya rakyat mahu melihat apakah dasar kerajaan yang mampu membantu rakyat di samping memulihkan ekonomi.

 

Dari sudut berbeza, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga perlu mengumumkan satu bajet untuk “menawan’ hati rakyat kerana dijangka pilihan raya umum (PRU) bakal diadakan sekitar Oktober atau November tahun ini.

 

Dek kerana ini, Bajet ini juga boleh menjadi “peluru serangan” atau “bom yang menghancurkan” kerajaan. Maka Bajet 2023 ini perlu meyakinkan rakyat.

 

MOF terbitkan KKA

Kementerian Kewangan (MOF) telah menerbitkan satu  Kertas Konsultasi Awam (KKA) untuk Bajet 2023 bertajuk "Penerapan Prinsip Alam Sekitar, Sosial Dan Tadbir Urus (ESG) Dalam Pelaburan Oleh Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) Dan Syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).


 

MOF

 


Dijangka KKA ini bertujuan mengumpul cadangan berlandaskan prinsip ESG bagi meningkatkan daya saing GLIC dan MKD. Ini kerana GLIC dan MKD dilihat mampu  menyumbang kepada agenda pembangunan mampan negara bagi tahun 2023 dan seterusnya.

 

Apa yang kerajaan lakukan dengan menertibkan KKA ini dilihat sebagai satu usaha bagi membentuk Bajet 2023 yang lebih telus dan inklusif.

 

Kerajaan perlu tingkatkan kemampanan fiskal negara

Dalam merangka Bajet 2023, apa yang penting yang perlu dipertimbangkan oleh kerajaan ialah bagaimana usaha dan tindakan kerajaan bagi meningkatkan kemampanan fiskal negara.

 

Bajet 2023 perlu “menangani” kesan kenaikan harga barangan keperluan asas. Bajet 2023 perlu mencari penyelesaian terbaik seperti melaksanakan pemberian subsidi atau bantuan sosial kepada rakyat.

 

Dari sudut pandang berbeza, pastinya dengan melaksanakan pemberi subsidi ini memerlukan kemampanan fiskal negara yang kuat. Maka kerajaan perlu meningkatkan kemampanan fiskal negara jika benar-benar mahu melaksanakan pemberi subsidi ini.

 

Kita nantikan dalam Bajet 2023 nanti, apakah mekanisme yang kerajaan akan umumkan berhubung perkara ini.

 

Perlu laksanakan langkah bendung peningkatan kos sara hidup

Bajet 2023 perlu mengumumkan strategi kerajaan dalam membendung peningkatan kos sara hidup isi rumah.

 

Seperti yang diketahui kini, kos sara hidup yang tinggi  sememangnya membebankan rakyat.

 

Apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan dalam Bajet 2023 nanti ialah dengan penetapan harga siling bagi barang-barang keperluan asas.

 

Dengan penetapan harga siling ini boleh mengelakkan harga barang-barang keperluan asas ini naik dengan mendadak dan “sesuka hati”


 

AYAM

 


Bajet 2023 juga perlu merangka usaha dan tindakan dalam menambahkan pengeluaran dan produktiviti hasil pertanian tempatan. Di Malaysia masih banyak sumber yang masih belum digunakan secara maksimum seperti masih banyak tanah yang terbiar yang tidak diusahakan.

 

Semua ini boleh meningkatkan pengeluaran terutamanya pengeluaran produk pertanian sekali gus membantu pengawalan harga kerana terdapat pengeluaran yang mencukupi.

 

Kerajaan juga perlu  memantau faktor-faktor luaran yang boleh memberi impak negatif kepada situasi ekonomi domestik dalam memastikan kos sara hidup rakyat terkawal

 

Tekanan inflasi kian meruncing

Bajet 2023 perlu menumpukan kepada agenda kesejahteraan rakyat terutamanya dalam aspek pendapatan dan perlindungan sosial seiring dengan momentum pemulihan ekonomi.

 

Dengan tekanan inflasi yang kian meruncing terutamanya bagi harga komoditi dan makanan, maka cabaran ini juga memerlukan langkah penyelesaian yang lebih mampan di samping terus memperkukuh daya tahan negara.

 

Bajet 2023 perlu dibangunkan keterangkuman selaras dengan hasrat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang perlu diberi penekanan bagi memastikan inflasi ini mampu dikawal dengan baik.

 

Buat masa ini, dunia sekarang sedang bergelut dengan cabaran ketidaktentuan geopolitik dan perubahan iklim yang serius, inisiatif berkaitan kemampanan ekonomi perlu  diambil kira dalam Bajet 2023.                             


 

volatiliti

 


Bolehkah sasaran isi rumah berpendapatan RM10,000 sebulan dicapai?

Dalam merangka Bajet 2023, kerajaan perlu realistik dengan menyasarkan pendapatan isi rumah sebanyak RM10,000 sebulan menjelang 2025. Adakah ia mampu dicapai?

 

 Jika benar ia mahu dicapai, menerusi Bajet 2023, kerajaan perlu membentuk strategi yang untuk memulih dan memperkukuh asas ekonomi terutama melalui pelaksanaan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

Pemerkasaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di mana langkah merapatkan jurang ekonomi antara Lembah Klang dengan Sabah dan Sarawak perlu dilakukan dengan segera.

 

RMK-12 telah meletakkan pelbagai langkah yang sentiasa menjadi dasar belanjawan tahunan serta langkah khusus yang memberi kehidupan kepada aspirasi jangka masa panjang tetapi adakah ia benar-benar dilaksanakan? Itulah persoalannya.

 

Kini, langkah dan fokus perlu kepada ESG dan kemampanan adalah tepat pada masanya ketika negara sedang menangani ketidaksamaan sosial dan jurang kekayaan yang semakin melebar.

 

Keyakinan pelabur

Kerajaan menerusi Bajet 2023 perlu juga mengatur langkah untuk  meningkatkan lagi kepastian dasar dan keyakinan pelabur yang seterusnya mengukuhkan daya tahan ekonomi negara agar Malaysia dapat terus menjadi destinasi pelaburan menarik,

 

Kegusaran komuniti pelabur antarabangsa adalah antara faktor sementara yang menyumbang kepada penyusutan nilai ringgit ketika ini

 

Keadaan ini menyebabkan pelabur memperuntukkan semula pelaburan dalam aset yang menjana hasil yang lebih tinggi di Amerika Syarikat (AS) dan menyebabkan kejatuhan nilai pelbagai mata wang dunia, termasuk ringgit.


 

volatiliti

 


Libat urus Bajet 2023

Bajet 2023 memerlukan dasar strategi dan pendekatan yang unik atau berbeza. Bajet 2023 perlukan lebih banyak libat urus untuk mendapatkan input dari akar umbi. Semoga Bajet 2023 ini akan memberi khabar yang baik untuk rakyat.

 

Bajet 2023 dilihat sangat penting buat negara bagi memastikan Malaysia dalam pertumbuhan yang mampan serta meningkatkan daya saing perniagaan dan rantaian nilai. – DagangNews.com

 

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Segamat dan merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

Portfolio Tags