Skip to main content

BAM percaya kemampuan Tze Yong

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Nov - Persatuan Badminton Malaysia (BAM) percaya pemain muda negara, Ng Tze Yong akan meraih lebih banyak kejayaan besar pada masa akan datang selepas menampilkan aksi konsisten dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

 

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann berkata, Tze Yong mula menunjukkan kematangan dalam permainannya dan berjaya merankul naib juara Terbuka Czech dan juara Antarabangsa Belgium.

 

"Memang dia antara beberapa pemain muda yang kita beri fokus untuk cuba menaikkan prestasi dan keupayaan. 

 

"Saya berharap pengalaman beraksi di Piala Sudirman dan Piala Thomas yang lalu, boleh membuka kesedaran untuk memahami intensiti perlawanan tahap tertinggi.

 

"Kami harap dia lebih memahami hala tuju dari segi intensiti latihan, corak permainan yang mantap, bijak dan berupaya mengatasi pemain yang terbaik. Kami melihat dia makin menunjukkan kematangan dan jadi kita gembira dengan perkembangannya. Tapi kita akan terus memantau dan mendorongnya," katanya.

 

Dalam pada itu, Choong Hann juga mengesahkan bahawa gandingan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah tidak dijadualkan menyertai kejohanan Terbuka Hylo yang akan berlangsung di Jerman hari ini.

 

Mereka akan memberikan tumpuan terhadap Master Indonesia (16 hingga 21 November) dan Terbuka Indonesia (23 hingga 28 November) di Bali serta Kejohanan Dunia (12 hingga 19 Disember) di Huelva, Sepanyol.-DagangNews.com