Bank Islam, Inari, QL Resources pilihan saham patuh syariah CGS-CIMB bagi 2022 | DagangNews Skip to main content

Bank Islam, Inari, QL Resources pilihan saham patuh syariah CGS-CIMB bagi 2022

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 Jan - Bank Islam Malaysia Bhd., Inari-Amerton Bhd. dan QL Resources Bhd. menjadi 3 pilihan saham patuh syariah oleh CGS-CIMB Research bagi tahun ini. 

 

Ketiga-tiga saham ini diberi saranan 'tambah' dengan harga sasaran masing-masing pada RM3.46, RM4.95 dan RM5.50, menurutnya dalam Laporan Strategi Pelaburan Syariah 2022. 

 

Bagi Bank Islam, firma itu berkata, pertumbuhan pembiayaannya adalah paling kukuh dalam sektor dan dijangka meraih paling banyak manfaat sekiranya kadar dasar semalaman (OPR) dinaikkan tahun ini.

 

Ia menjangkakan Bank Islam akan merekodkan pemulihan kukuh dalam pertumbuhan pendapatan sesaham (EPS) teras kepada 24.4% bagi tahun kewangan 2023 (FY23) selepas ia mendatar (-0.2%) pada FY22 disebabkan perbelanjaan cukai yang tinggi ekoran pelaksanaan Cukai Makmur. 

 

Inari pula dilihat sebagai proksi dalam pertumbuhan nilai kandungan frekuensi radio (RF) disokong kadar penembusan telefon pintar 5G di seluruh dunia. 

 

Terdapat potensi kepelbagaian dalam segmen automotifnya dan perolehan akretif menerusi usaha sama perkhidmatan pemasangan dan ujian semikonduktor (OSAT) di China yang boleh menjadi pemangkin baharu kepada harga sahamnya.

 

Ini membolehkan firma itu mengunjurkan keuntungan bersih teras Inari dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 26% bagi tempoh tahun kewangan 2022 hingga 2023. 

 

Sementara itu, QL Resources mempunyai kelebihan sebagai proksi yang menarik apabila perbelanjaan pengguna kembali pulih pada separuh pertama 2022 berdasarkan kepada peningkatan semula harga sahamnya sejak 12 bulan lalu sebanyak 24.2% tahun ke tahun. 

 

"Secara keseluruhan, pilihan utama kami bagi sektor syariah ialah saham-saham berkaitan bank-bank Islam, teknologi, petrokimia, media, minyak dan gas, penjagaan kesihatan, utiliti dan penjagaan kesihatan," menurutnya dalam laporan berkenaan.

 

CGS-CIMB menjangkakan 2022 akan menjadi tahun yang lebih mencabar bagi pasaran ekuiti patuh syariah disebabkan cabaran dalam bentuk dasar serta pendapatan korporat dan risiko politik.

 

Antara faktor yang mempengaruhi pergerakan pasaran termasuklah varian baharu COVID-19, jualan singkat intrahari yang dilaksanakan semula, aliran keluar dana asing akibat langkah pengurangan pembelian aset oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS).

 

Namun, di sebalik pergerakan pasaran yang dijangka tidak menentu pada tahun ini kerana masih menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu pasca-COVID-19, firma itu masih mengekalkan sasaran akhir tahun FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pada 1,612 mata.

 

"Mengenai risiko politik dan kemungkinan pilihan raya umum ke-15 akan diadakan tahun ini, kami menjangkakan ketidaktentuan pasaran saham dalam tempoh selepas Parlimen dibubarkan atau tamat, terutama semasa tempoh kempen," jelasnya.

 

Dalam pada itu, CGS-CIMB menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan OPR sebanyak 50 mata asas kepada 2.25% menjelang akhir tahun ini memandangkan inflasi diunjur berada antara 2 hingga 3%. 

 

Ia turut mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang lebih baik tahun ini pada 5.6% berbanding 3.5% pada 2021. - DagangNews.com