Belanjawan 2022 'Road Map' pulihkan ekonomi negara | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 13 October 2021

Belanjawan 2022 “Road Map” pulihkan ekonomi negara

 

 

Negara bakal memasuki fasa endemik. Semua sektor ekonomi sudah mula beroperasi seperti biasa. Namun persoalannya, adakah sektor ekonomi yang dibuka ini mampu menjadikan keadaan seperti biasa?

 

Pasti jawapannya tidak!

 

Ini bukan magik. Sektor ekonomi perlukan masa untuk pulih dek kerana apa yang telah berlaku. Akibat pandemik COVID-19 dan ketidaktentuan ekonomi dunia menyebab ekonomi dunia khususnya dan Malaysia amnya terjejas.

 

Hala tuju Bajet 2021

Kerajaan perlu merangka Bajet 2022 yang bertemakan memacu pemulihan ekonomi (recovery), membina semula daya ketahanan negara (resilience) dan memangkin pembaharuan (reform) untuk Malaysia bangkit sebagai ekonomi yang lebih mampan dan berdaya saing.

 

Bajet 2022 perlu menjadi asas panduan kepada kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara selari dengan matlamat dan hala tuju RMke-12 yang mana Malaysia perlu memacu KDNK negara sebanyak 4.5% hingga 5.5% setahun, pertumbuhan purata sektor perkhidmatan sebanyak 5.2% pembuatan 5.7%, pertanian 3.8%, perlombongan dan kuari 2.6% serta pembinaan 4.2%.

 

Dalam merancangkan peruntukan bajet 2022 ini yang perlu selari matlamat RMke-12 juga dengan 9 fokus utama dengan peruntukan RM 400 bilion yang perlu diagihkan setiap tahun untuk merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi dan memastikan kemakmuran negara dapat diagihkan secara lebih adil dan saksama.

 

Denyutan nadi IKS perlu diperkasa

Dalam usaha memulihkan ekonomi Malaysia 2022 nanti, tumpuan perlu diberi kepada perusahaan kecil dan sederhana (IKS) yang terjejas akibat situasi semasa.

 

Kenapa tumpuan perlu diberi kepada IKS?

Ini kerana, kelangsungan hidup rakyat terutamanya golongan B40 banyak tergantung kepada kumpulan ini. Pastinya IKS perlu diperkasa untuk memastikan denyutan nadi IKS boleh berdenyut normal kembali.

 

Walaupun banyak “bantuan penafasan” telah diberi kepada IKS melalui pelbagai skim dan pelan semasa namun IKS ini belum mampu bernafas dengan sendirinya lagi.

 

Selain itu, kita tidak boleh menafikan sumbangan IKS ini kepada negara yang dijangka menyumbang 45% kepada KDNK dan 25% kepada eksport negara menjelang 2025.

 


 

volatiliti

 


 

Tingkatkan Had Siling SJPP

Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) ialah skim jaminan kerajaan bagi membantu syarikat-syarikat IKS dalam pelbagai industri dan sektor untuk mendapatkan akses kepada kemudahan kredit atau pembiayaan yang diperlukan.

 

Pada tahun 2021 ini, sebanyak RM 36.5 bilion SJPP telah diberi bagi membantu 45,000 IKS.

 

Bagi membantu mengukuhkan IKS ni, Bajet 2022 perlu meningkatkan had SJPP ini untuk membantu IKS untuk kekal relevan dan berdaya saing.

 

Selain itu SJPP ini perlu juga membantu IKS khusus bagi pengusaha wanita, IKS Start-Up dan IKS untuk inisiatif-inisiatif berteraskan automasi dan digital.

 

Sektor pelancongan perlu diselamatkan

Tumpuan Bajet 2022 juga perlu ditumpukan kepada sektor pelancongan. Sektor pelancongan antara yang terjejas teruk akibat COVID-19. Sektor ini telah mengalami kerugian RM1.35 bilion dicatatkan pada 2020 dan dianggarkan meningkat kepada RM1.65 bilion tahun 2021 ini.

 

Sektor ini memerlukan suntikan modal kerja dan aliran tunai bagi membolehkan sektor pelancongan pulih dengan baik. Ini kerana sektor ini telah begitu lama tidak dibenarkan beroperasi, modal kerja dan aliran tunai menjadi tunjang masalah sektor ini untuk kembali aktif.

 

Kerajaan menyasarkan sektor pelancongan kelak akan mengalami pertumbuhan sebanyak 3.8% melalui pakej-pakej rangsangan dalam Bajet 2022 yang akan diumumkan hujung bulan ini.

 


 

volatiliti

 


Pelaburan asing perlu bersifat “technology intensive”

Dalam usaha memulihkan ekonomi, usaha perlu digandakan untuk menarik lebih ramai pelabur asing untuk masuk ke Malaysia. Dengan keadaan semasa, pelaburan asing yang akan masuk ke Malaysia tidak boleh lagi bersifat “labour intensive” lagi tetapi sebaliknya yang bersifat “technology intensive

 

Kita tengok sahaja apa yang berlaku akibat pendemik, semua pelaburan asing yang menjalankan perniagaan bersifat labour intensive” gagal beropeasi dengan baik kerana kebergantungan mereka kepada tenaga kerja asing.

 

Jika industri atau perniagaan yang terlalu bergantung kepada tenaga kerja asing ini, ianya boleh menyebabkan produktiviti negara akan menurun.

 

Selain itu, demi menggalakkan lagi pelaburan asing, birokrasi dalam urusan kemasukan pelaburan asing perlu diperhalusi bagi memudah cara urusan ini. Birokrasi inilah yang “melemaskan” pelabur asing hingga mereka lari ke negara lain untuk membuat pelaburan mereka.

 

 

volatiliti

 

 

Selesaikan isu fiskal negara

Bajet 2020 juga perlu menumpukan kepada isu-isu fiskal negara. Mahu tidak mahu, kesan pandemik masih akan berlanjutan hatta kita akan ke fasa endemik. Bajet 2022 perlu mengurangkan defisit fiskal daripada Kadar Keluaran Negara Kasar (KDNK).

 

Kerajaan perlu meneruskan konsolidasi fiskal untuk memulihkan ekonomi daripada krisis COVID-19. Melalui agenda reformasi fiskal, Kerajaan perlu meletakkan sasaran sekurang-kurangnya defisit fiskal berkurang di bawah 4% daripada KDNK dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

 

Untuk menyelesaikan isu fiskal negara, Bajet 2022 perlu untuk memikirkan langkah penambahbaikan dalam sistem kutipan hasil semasa serta meluaskan asas hasil Kerajaan.

 

Untuk mengimbangi pendapatan dan perbelanjaan Kerajaan, Kerajaan perlu gandakan usaha rasionalisasi untuk meningkatkan kecekapan operasi dan menambah baik pengurusan kos.

 

Akta Tanggungjawab Fiskal perlu digubal segera bagi   meningkatkan disiplin dan tadbir urus pengurusan fiskal dalam memastikan kewangan awam yang mantap dan mampan.

 

Selain itu, Penerbitan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan perlu di perkasa bagi meningkatkan ketelusan dalam menyampaikan maklumat dasar fiskal Kerajaan kepada rakyat.

 

Janji Ismail Sabri

Dalam Forum Khazanah Megatrends 2021 yang bertajuk "The Invention of Tomorrow: Crafting Our New Collective Narrative" baru-baru ini, Ismail Sabri menegaskan, kerajaan akan memastikan polisi yang lebih baik dilaksanakan pada fasa endemik negara dan seterusnya memulihkan ekonomi negara.

 

 

PM

 

 

Bajet 2022 kayu ukur pemulihan ekonomi negara

Fokus Bajet 2022 juga perlu untuk meneruskan program bantuan dan sokongan untuk memastikan pemulihan negara daripada kesan jangka panjang krisis pandemik terhadap ekonomi negara.

 

Kerajaan perlu meneruskan kesinambungan dasar dengan bantuan untuk menyokong rakyat dan perniagaan agar kekal berdaya tahan dalam menghadapi krisis bagi terus melindungi kelangsungan rakyat dan perniagaan.

 

Kekuatan asas dan daya tahan ekonomi negara akan dilihat dengan perancangan yang baik Bajet 2022. Tahun 2022 adalah tempoh dan peluang untuk kerajaan pimpinan Ismail Sabri untuk melaksanakan rebalancing, melakukan yang terbaik dengan sumber sedia ada, dan juga memastikan pertumbuhan ekonomi mampan pada masa hadapan. – DagangNews.com

 

 

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

 

 

 

 

Portfolio Tags