Skip to main content

Berbaju jersi ke majlis kahwin, suka hati aku... atau tiada etika?

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

APA pakaian yang awak pakai, adalah hak mutlak awak. Setuju?
Jadi, bila orang merrepak pakaian awak, itu pun hak mereka. Tak setuju pula? Nak saman? Habis awak pakai baju badut, mestilah orang ketawa.

Dari semasa ke semasa pasti ada heboh soal etika berpakaian. Etika sudah ada tetapi yang mengadu di media massa dan Facebook ialah mereka yang tidak bersetuju dengan ketetapan etika berpakaian.

Berurusan di pejabat kerajaan sudah ditetapkan etika pakaian. Hendak masuk kasino Genting Highland ada etika berpakaian. Nak masuk rumah orang pun ada etika berpakaian. Sebab kita semua orang bertamadun dan beradab.

Masalahnya, orang moden zaman ini beranggapan etika seumpamanya hanya untuk orang sungai, bukit dan busut. Orang moden di bandar ada definisi berbeza tentang etika berpakaian. Mereka sangat marah bila ditegur, sedangkan etika itu sudah ada sejak mereka dalam perut emak lagi.

Mereka jadi takbur sebab tahu banyak media akan menggambil kesempatan secukupnya daripada aduan mereka untuk membuat laporan berita yang terburuk tentang kerajaan.

 

berpakaian

 

Lihat saja pada hari Jumaat. Ramai lelaki yang ber­pakaian Melayu ke pejabat. Sesuai sebab boleh dipakai untuk solat.

Masalahnya, kalau berpakaian Melayu, biarlah lengkap dengan samping dan songkok. Tanpa dua elemen ini, baju Melayu yang dipakai ibarat ayam togel. Tidak sempurna. Lekeh.

Serupalah mereka yang pergi ke masjid bermotosikal tanpa menggunakan topi keledar. Apa dia ingat ada kelonggaran peraturan trafik semasa solat Jumaat? Apa dia ingat tidak ada risiko pecah kepala kalau motosikal terlanggar sesuatu? Tak apa, boleh mati syahid, kata sesetengah mereka. Sengaja tidak pakai topi keledar bukan mati syahid tetapi sengaja nak cepat mati.

moto
Awak ingat semasa hendak solat Jumaat memang tak wajib pakai helmet? - Gambar Hiasan

 

Di pejabat, pasti ramai rakan sekerja yang anda nampak begitu ranggi dan segak. Yang wanitanya berkasut Gucci. Lelaki pula berkasut Clark.

Sebaik-baik sahaja tiba di meja atau bilik masing-masing, kasut lawa mereka ghaib. Ke hulu ke hilir mesyuarat dalam pejabat, tiba-tiba mereka berselipar atau sandal.

Kasut mahal itu disorok bawah meja. Alasan pertama, selipar atau sandal senang nak bawa ke jamban. Kedua, senang nak ke surau. Ketiga, kasut mahal tak mahu tapak haus cepat. Keempat, tidak mahu nampak lebih kaya daripada ketua pengarah.

selepa

 

Di padang bola, pernah saya pernah berdebat dengan rakan-rakan sepasukan bila mereka muncul dengan seluar panjang. Isunya bagaimana hendak berlari pantas dengan seluar panjang?

Boleh. Tidak ada masalah kata mereka. Tapi kejar bola jadi slow motion. Sebab itu, kena belasah 10-0. Seluar pendek yang saya katakan pun bukannya sependek seluar dalam. Seluar pendek sampai paras kepala lutut. Kalau kepala fikir persoalan aurat, main sahajalah suka-suka tidak payah bergasak.

Sensitif

Satu acara yang paling sensitif hendak ditegur ialah berkenaan etika berpakaian ke kenduri perkahwinan.

Pantang larang pertama ialah tidak boleh memakai jersi kelab bola pujaan peribadi anda, walau bagaimana tegar pengantin meminati kelab yang sama. Melainkan jika pengantin itu sendiri menetapkan tema persandingan mengikut kelab bola pujaan dan tetamunya digalak memakai jersi.

Pantang larang berpakaian jersi bola ini juga berkaitan aspek tidak lawa terutama jersi yang sarat dengan logo penaja. Maha hodoh bila bergambar bersama pengantin yang segak dan anggun.

jers
Hodoh bila bergambar bersama pengantin yang segak dan anggun. - Gambar Hiasan

 

Satu lagi ialah kemeja T tidak berkolar atau V. Ingat, kenduri yang dihadiri adalah kenduri perkahwinan, bukan kenduri sambutan hari jadi.

Lebih menakutkan, ada yang datang dengan kemeja T kulit album Metallica atau berslogan. Kalau slogan #penjarakanSosial mungkin tidak mengapa. Itu semua orang faham sebagai peringatan masa COVID-19 ini. Kalau slogan yang ada makna tersirat, itu payah terutama yang dwi-makna.

Pasti ramai yang hendak membantah bila diperingatkan pasal etika berpakain hari ini. Sepatutnya sesiapa sahaja bebas untuk berpakaian sebagaimana yang dia mahukan. Siapa awak hendak buat peraturan itu ini? Awak bayarkah baju saya? Saya beli mahal tau. Jadi, tidak perlu hendak buat garis panduan etika berpakaian. Diamlah, kata mereka.

Tetapi jika anda pengantin, tentu anda gembira bila melihat hadirin dan hadirat berpakaian kemas. Tandanya menghormati majlis. Atau anda tidak peduli apa tetamu pakai, asalkan datang sudah dikira bagus.

Jika anda tidak peduli, cuba kasihani dan hormati ibu bapa anda yang berpakaian kebangsaan menyambut tetamu di hadapan pintu dewan. - DagangNews.com

 

Merrepak adalah ruangan pojok Johardy Ibrahim setiap Ahad yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaannya seminggu ini atau hal-hal yang menyebabkannya mengambil nikotin pada kadar berganda. Merrepak kini adalah ruangan tetap di dalam portal berita DagangNews.com. Untuk sebarang cadangan topik untuk bahan Merrepak, sila emel johardy@dagangnews.com