Berhati-hati main kutu, bukan sekadar suka-suka | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 19 April 2022

Berhati-hati main kutu, bukan sekadar suka-suka

 


PANDEMIK COVID-19 telah menjejaskan sumber pendapatan sebilangan besar rakyat Malaysia. Ini mungkin menjadi antara faktor yang mendorong mereka untuk beralih kepada cara mudah dan singkat mendapatkan duit, dengan mengumpul wang tunai secara bermain kutu - aktiviti yang popular dalam kalangan orang Melayu.

 

 

Dalam hal ini, penulis ingin menasihati rakyat Malaysia agar selalu berhati-hati apabila bermain kutu, kerana aktiviti ini kemungkinan adalah satu kesalahan dari sudut undang-undang malah kepatuhan syariah juga harus dijaga dengan sempurna.

 

Secara ringkas bermain kutu adalah aktiviti yang melibatkan sekumpulan kecil orang yang bersetuju untuk menyumbangkan sejumlah wang yang dipersetujui dalam tempoh masa ditetapkan biasanya secara bulanan. 

 

Duit yang disumbang setiap bulan daripada setiap peserta itu kemudiannya diserahkan oleh ketua kumpulan atau ibu kutu kepada peserta, yang dijalankan secara undian. Seorang peserta akan mendapat hasil kutipan duit kutu ini setiap bulan sehingga habis giliran masing-masing.

 

Dari sudut syariah pula, sumbangan di atas sebenarnya adalah berbentuk pinjaman (qard) yang tidak ada unsur interest (riba) di dalamnya. Berapa jumlah yang disumbang, itulah jumlah terkumpul yang mereka akan dapat. 

 

Mengikut Pendaftar Pertubuhan (ROS), permainan kutu tradisional dalam kalangan rakan atau keluarga adalah sah, namun ia boleh menyalahi undang-undang jika melanggar beberapa syarat. 

 

Antara syarat yang perlu dipatuhi ialah ibu kutu tidak boleh mengenakan yuran keahlian kepada peserta untuk menyertai permainan kutu ini. 

 

Malah ibu kutu juga tidak boleh menuntut keuntungan daripada daripada peserta yang menyumbang. Satu lagi syarat yang penulis diberitahu adalah aktviti main kutu ini tidak boleh diiklankan atau dipromosikan kepada masyarakat umum.

 

Pada penulis, selagi mana aktiviti skim wang kutu secara tradisional yang tidak bermotifkan keuntungan ia tidaklah termasuk dalam Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971. 

 

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pernah mengeluarkan satu kenyataan bahawa skim wang kutu tradisional hanya memberikan kembali jumlah yang disumbang mengikut giliran ditetapkan. 

 

Ia dianjurkan atas dasar kemasyarakatan dan kepercayaan dalam kalangan jiran tetangga, sahabat handai, saudara-mara atau rakan kerja bagi tujuan mengumpul wang mengikut keperluan masing-masing tanpa sebarang keuntungan bagi mana-mana individu. 

 

SSM menegaskan aktiviti main kutu yang mendatangkan hasil berlipat ganda berbanding sumbangan yang diberikan termasuk sebarang pulangan tambahan selain daripada wang sumbangan asal adalah termasuk dalam aktiviti yang dilarang dan tidak terkecuali daripada Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971.

 

Untuk makluman, akta ini melarang mana-mana syarikat yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 2016 atau perniagaan berdaftar di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 menjalankan aktiviti perniagaan berbentuk skim wang kutu. 

 

Jika didapati bersalah, penganjur boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan untuk tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm

Portfolio Tags