Berkayuh perlahan-lahan berkayak, bukan jetski (MERREPAK) | DagangNews Skip to main content

Berkayuh perlahan-lahan berkayak, bukan jetski (MERREPAK)

Berkayuh perlahan-lahan berkayak, bukan jetski 

 

 

PADA lewat 1990-an, seorang kenalan memberitahu minimum dana kena ada untuk menjadi `pemain saham’ ialah RM10,000. Aduh... gaji bulanan nak simpan RM200 pun sulit. Inikan pula RM10,000!

 

Tidaklah pasti itu cara dia menutup perbualan kerana mengetahui RM10,000 bukan mudah hendak dicari, apalagi hendak dikumpul. Tetapi yang pasti, memang menguburkan minat saya yang baharu beberapa tahun bekerja.

 

Pada 2001, saya ditukar ke Meja Ekonomi dan sekali lagi terdedah kepada dunia saham kerana setiap hari harus mencatat indeks untuk infografik akhbar. Selain itu, dari semasa ke semasa kena memproses kenyataan media berbahasa Inggeris KLSE yang jika sekadar menterjemah, artikel Bahasa Malaysia menjadi tidak difahami.

 

Jadi kena paksa diri memahami segala istilah seperti retail investor atau pelabur runcit yang bermakna pelabur individu tanpa mengira berapa jumlah. Ia berbeza dengan institutional investors atau pelabur institusi yang bermaksud pelabur besar seperti PNB, KWSP, KWAP dan sebagainya.

 

Pada dekad tersebut jugalah Bursa Malaysia membenarkan pelaburan serendah RM1,000 untuk seunit saham, bertujuan menggalakkan orang perseorangan turut serta di dalam pasaran saham. Dan tentunya, untuk kelompok yang tidak mampu menyediakan RM10,000 tunai...

 

Oleh kerana tugas sebagai wartawan berita ekonomi ketika itu meliputi serba-serbi ekonomi, perniagaan, automotif, utiliti, O&G dan komoditi maka ia tidak memungkinkan kami untuk duduk memerhati pergerakan saham seperti remisier.

 

Maka, komunikasi dengan remisier diperluaskan dan diakrabkan. Mereka inilah yang berperanan memberi pandangan, panduan malah gosip pasaran yang panas. Pada zaman belum wujud WhatsApp dan BBM BlackBerry, ramai berpandukan blog, e-mel dan SMS.

 

wainuiomata

 

Paling mencabar ketika itu, kami tidak mudah mendapat akses atau dikongsikan maklumat. Ia memerlukan masa untuk menyemai kepercayaan, baharulah seorang dua remisier sukarela berkongsi maklumat daripada rangkaian remisiernya.

 

Maklumat di sebalik tabir ini, amat membantu ketika menyediakan ulasan mengenai sesuatu kes korporat termasuk sentimen-sentimen pemain pasaran sama ada mereka percaya atau tidak, bersedia menjual atau bertahan.

 

Hubungan dengan mereka ini dikekalkan walaupun pada 2007 dipindahkan ke unit lain, malah terus berhubung dari semasa ke semasa. Ditakdirkan cerita pada 2014, saya kembali ke Meja Ekonomi, kali ini sebagai editor dan saya pastikan setiap hari mesti ada artikel mengenai syarikat tersenarai beserta pandangan serta ulasan remisier.

 

Hubungan yang terjalin dua dekad ini menjadi antara pemangkin bila saya memulakan portal berita perniagaan berbahasa Malaysia sepenuhnya DagangNews.com pada 1 Julai 2020 bersama 3 tenaga kerja sepenuh masa.

 

Ini termasuk 2 wartawan bonafide yang memiliki pengalaman kewartawanan antara 6 tahun hingga 11 tahun dan berpegang kepada prinsip-prinsip kewartawanan.

 

dagangnews
Pembaca digalakkan pergi terus ke portal DagangNews.com walaupun boleh memperoleh link di Facebook, Twitter & Instagram.

 

Kewujudan sumber-sumber sahih peserta industri sendiri, memberi kami saluran yang cukup genting untuk menyediakan analisis dan berita yang tepat, kadang-kadang terpanas di pasaran.

 

Ini semua hanya dapat diperoleh daripada hubungan yang terjalin lama dan paling mustahak, kepercayaan daripada sumber bahawa kami akan menulis tanpa menyimpang dari cerita atau menulis dengan agenda peribadi.

 

Sumber-sumber sahih dan daripada kalangan peserta industri inilah merupakan aset dan komoditi kepada DagangNews.com untuk menempatkan diri sebagai media pilihan masyarakat perniagaan di Malaysia.

 

Dengan matlamat di atas, pengurusan editorial DagangNews.com cukup maklum jalan yang dilalui untuk meraih Page Views dalam Google Analytics, tidak akan secepat atau sebesar portal lain yang bersifat `full-fledged media’ yang menyajikan berita dari politik, isu semasa, jenayah sehinggalah gosip artis.

 

Kami tidak akan mengubah fokus menjadi sedemikian semata-mata untuk meningkatkan Page Views (walaupun amat penting...). Memang untuk meraih lonjakan Page Views, selitkan cerita artis sensasi melanggar SOP adalah resepi mee segera.

 

Tetapi apa kelainan yang hendak portal ini paparkan jika mengikut resipi mee cepat dimasak tetapi kemudiannya perut menjadi kembung sebab terlalu banyak MSG?

 

Kami tidak boleh sama, baik dari segi konsep mahupun pelaksanaan. Kerana sebagai media alternatif dalam talian, kami tidak mungkin dapat menandingi jenama media mainstream. Contoh yang ada memperlihatkan 10 tahun minimum untuk media baharu boleh bersaing di sungai besar. Jadi kita kayuh perlahan-lahan berkayak, bukan naik jetski.

 

Dengan adanya sumber-sumber seperti disebut di atas, ia membolehkan DagangNews.com mempersembahkan artikel daripada pelbagai sudut pandangan yang objektif untuk pembaca membuat penilaian.

 

Isu-isu korporat yang telah diberi tumpuan DagangNews.com seperti FGV, Felda, Tabung Haji, Papparich, Malaysia Airlines dan sebagainya, termasuk kini Serba Dinamik, merupakan testimoni keupayaan portal ini memberi sudut pandangan pelbagai pihak tersebut tanpa ikatan emosi atau beragenda.

 

Satu daripada pendekatan yang diambil pengurusan editorial portal ini sekarang ialah turut menyiarkan isu-isu berkaitan pandemik COVID-19 seperti program vaksin yang berguna kepada pembaca, akan disiar setiap hari.

 

Di samping itu, kami mempersembahkan barisan panel seramai 8 penulis yang cukup berpengalaman di dalam bidang masing-masing sebagai kolumnis tetap, dari sektor pengurusan harta dan kewangan Islam, pemasaran digital, industri kreatif, ahli akademik sehinggalah budayawan. Mereka ini membentuk peminat tersendiri yang mengikuti idea tulisan mingguan kolum mereka.

 

dagangnews
BARISAN kolumnis yang bergilir mengikut hari telah mencipta pengikut tersendiri yang meminati tulisan mereka.

 

Kelainan yang nyata ialah sejak ditubuhkan pada 1 Julai 2020, DagangNews.com memastikan portal ini bebas berita politik kepartian. Pengalaman berkhidmat dengan akhbar yang dimiliki parti politik selama 25 tahun, menjadi panduan utama mana yang wajar dituruti, mana yang mesti dielak sama sekali.

 

Dan jika ada pun tidak lama lagi (pilihan raya umum), pemberitaan politik kepartian akan disiarkan secara penuh ketelitian dan kewaspadaan.

 

Kami memiliki pelan perniagaan 3 tahun untuk dipatuhi dan diikuti dengan penuh disiplin dengan matlamat mengukuhkan jenama DagangNews.com sebagai media alternatif yang serius dan yang dipercayai.

 

Tarikh 26 Jun adalah tarikh `soft launch’ portal ini tahun lepas, dengan 1 Julai merupakan tarikh rasmi kelahiran di dalam surat beranak dan Page Views yang terkumpul sehingga kini, berjaya mencapai angka yang diluar unjuran sendiri.

 

Kepada pembaca dan penyokong DagangNews.com sekalian, saya mewakili warga portal ini menyusun jari mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih atas kepercayaan dan dorongan anda untuk kami meraikan ulang tahun pertama kami ini dengan rasa penuh kesyukuran dan azam membara untuk melangkah ke tahun kedua.

 

Terima kasih

Terima kasih

Terima kasih!

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim sebagai Pengarang Urusan DagangNews.com - menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Feeling Good oleh Michael Bublé berulang-ulang kali. 

 

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.