Betapa pentingnya salah faham dalam muamalat kewangan diperbetulkan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 29 June 2021

Betapa pentingnya salah faham dalam muamalat kewangan diperbetulkan

 

 

HINGGA ke hari ini, masih kedengaran beberapa isu berkaitan muamalat kewangan Islam. Antara salah faham dalam kalangan pemain industri kewangan ialah takrifan berkenaan perbankan dan perkhidmatan kewangan Islam hanya kepada orang Islam sahaja. 

 

Satu lagi isu adalah berkaitan kefahaman pelanggan bank tentang perkataan ’pinjaman’ dalam industri kewangan Islam, hinggakan ada segolongan mereka yang mengatakan tidak ada perbezaan langsung antara perbankan biasa dan perbankan Islam.

 

Perbankan Islam untuk Muslim sahaja?

 

Islam adalah satu agama yang lengkap dan merangkumi seluruh aktiviti yang dijalankan di atas muka bumi ini. Syariah meliputi segenap sudut termasuk ekonomi. 

 

Sesiapa sahaja yang dinamakan manusia boleh menikmati produk dan perkhidmatan kewangan selagimana produk dan perkhidmatan yang disediakan oleh institusi-institusi perbankan tersebut menurut kehendak syariah yang ditetapkan oleh pihak berwajib.

 

Di Malaysia, ramai dalam kalangan pelanggan bukan Muslim telah memilih produk dan kewangan Islam. 

 

Antara sebab-sebab utama kenapa pemilihan ini dibuat adalah kerana produk yang dihasilkan berdasarkan kontrak-kontrak syariah menepati cita rasa pengguna, menarik dan ia menguntungkan. 

 

Di samping itu, sikap tolenrasi pihak Bank Negara Malaysia (BNM) serta Suruhanjaya Sekuriti yang mengamalkan sikap terbuka dan penyediaan garis panduan yang telus dan efisien, berjaya membuktikan bahawa kewangan Islam adalah yang terbaik dan mampu dijadikan sistem kewangan di dunia demi mengembalikan kecemerlangan kewangan Islam.

 

Tiang utama kewangan Islam ialah syariah. Ia menggariskan bahawa segala ketetapan transaksi dan aktiviti kewangan mestilah bersumber kepada Al-Quran dan al-Sunnah bersama sumber lain yang akan membentuk garis panduan lengkap dalam sistem kewangan Islam untuk semua manusia di atas muka bumi ini.

 

Pinjaman atau Pembiayaan?

 

Pinjaman adalah dibenarkan dalam Islam. Namun begitu, pinjaman perlulah menurut kehendak syariah yang jelas. 

 

Malah, pinjaman juga mesti tanpa riba atau tanpa faedah. Pinjaman yang selalunya diberikan oleh institusi perbankan Islam adalah pinjaman berihsan. 

 

Sehubungan itu, pinjaman ini adalah sejenis pinjaman yang tiada batas waktu yang diperuntukkan untuk peminjam melangsaikan hutang. 

 

 

jual beli
Istilah ‘pinjaman’ lebih bersesuaian digunakan apabila kemudahan kredit yang dipilih itu daripada institusi kewangan konvensional. 

 

 

Dalam hal ini, peminjam boleh membayar jumlah pinjaman tersebut kepada institusi kewangan apabila mereka mampu untuk menjelaskannya.

 

Secara am, penggunaan istilah ‘pinjaman’ lebih bersesuaian digunakan apabila kemudahan kredit yang dipilih itu adalah daripada institusi kewangan konvensional. 

 

Sekiranya memilih kemudahan kredit daripada perbankan Islam, penggunaan istilah ‘pinjaman’ adalah tidak tepat. Istilah yang lebih sesuai digunakan ialah ‘pembiayaan’.

 

Pinjaman adalah satu kontrak antara pemberi hutang (institusi kewangan) dan peminjam (pelanggan) di mana pihak yang pertama menyediakan kemudahan tunai kepada pihak kedua untuk membeli sesuatu aset yang dihajati.

 

Pihak pertama akan mengenakan faedah atau riba ke atas pinjaman yang diberikan dan si peminjam akan membayar balik pinjaman tersebut dalam tempoh ditentukan. 

 

Unsur faedah atau riba ini adalah bertentangan dengan kehendak syariah.

 

Bagi istilah ‘pembiayaan’ pula, ia membawa maksud yang lebih mendalam. Secara amnya pembiayaan adalah transaksi perbankan di mana pihak institusi kewangan menyediakan kemudahan kredit untuk pelanggan memiliki atau mengunakan sesuatu aset secara ‘jual beli’ ataupun ‘sewa beli’.

 

Untuk pembiayaan ‘jual-beli’, kebiasaannya pelanggan akan mengenal pasti aset yang hendak dimiliki dan seterusnya memohon pembiayaan dari pihak institusi kewangan. 

 

Institusi kewangan pula seterusnya akan membeli aset tersebut dengan harga kos dan kemudianya menjual kepada pelanggan dengan harga kos campur untung. 

 

Pelanggan seterusnya akan membayar harga kos campur untung tersebut secara tangguh.

 

Bagi pembiayaan ‘sewa beli’ pula, institusi kewangan akan membeli aset dan bertindak sebagai pemilik aset sebelum menyewakan aset tersebut kepada pelanggan. 

 

Kemudiannya, pelanggan akan membayar sewa bulanan kepada institusi kewangan, selagi mana pelanggan menggunakan aset tersebut.

 

Transaksi jual beli dan sewa beli ini adalah bertepatan dengan kehendak syariah dan mendapat kelulusan dari Majlis Penasihat Syariah, BNM.


.
Dr Razli Ramli merupakan seorang Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

 

 

Portfolio Tags