Bijak bertindak mampu atasi Krisis Makanan Negara | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
MULANYA DI SINI - 22 August 2022

Bijak bertindak mampu atasi Krisis Makanan Negara

Oleh Dr. Marziah Mokhtar & Sabariah Yusoff

 

 

 

RAKYAT Malaysia dan makanan tidak boleh dipisahkan. Kedai makan seperti restoran mamak yang umumnya dibuka 24 jam sentiasa penuh dengan pengunjung dari pagi hingga malam.

 

Tambahan lagi, di Malaysia terdapat kepelbagaian menu makanan yang tidak hanya didominasi oleh tiga majoriti bangsa iaitu Melayu, Cina mahupun India, bahkan pelbagai makanan etnik peribumi Sabah dan juga Sarawak.

 

Setiap kaum dan bangsa mempunyai makanan tersendiri yang secara tidak langsung menghasilkan menu yang kaya dan unik.

 

Jadi tiada keganjilan sekiranya Malaysia di beri jolokan status ‘syurga makanan’ disebabkan gelagat pemakanan rakyat negara ini yang mewah dan luar biasa.

 

Namun, dari satu perspektif lain, rakyat Malaysia perlu sedar bahawa kebanyakan bahan yang diguna pakai dalam penyediaan makanan bukan dari keluaran tempatan.

 

Sebagai contoh, kelapa digunakan bagi mendapatkan santan, diimport dengan nilai RM266.1 juta (2020) untuk memenuhi permintaan domestik. Sementara sayuran dan hasil ternakan diimport dari negara Afrika, Australia, India, Thailand dan China.  

 

Menurut laporan, secara keseluruhan Malaysia mengimport lebih RM55 bilion makanan dari negara luar berbanding hanya RM39 bilion makanan negara yang dieksport.

 

Ini bererti nilai eksport bersih makanan dalam keadaan defisit. Situasi ini sangat membimbangkan dan sekaligus menunjukkan kedudukan negara yang sangat rapuh andai kata berlaku gangguan ke atas rangkaian bekalan makanan berkaitan.  
 

 

mulanya di sini

 


Dasar pembangunan negara hari ini lebih memberikan tumpuan kepada sektor perindustrian.

 

Ekonomi Malaysia telah mengalami transformasi struktur yang ketara daripada satu ekonomi yang berasaskan pertanian kepada yang berasaskan perindustrian.

 

Situasi ini telah meningkatkan kekangan bekalan sumber dari segi kecukupan dan keselamatan makanan.

 

Kesannya, sektor pertanian dipinggirkan lalu telah menjadi sektor sampingan sahaja sehinggakan kebanyakan kawasan pertanian terbiar kosong sepenuhnya.

 

Dengan kata mudah, berlaku pengabaian yang ketara terhadap sektor pertanian terutamanya yang terkait dengan tanaman makanan.

 

Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia (JPM), sumbangan sektor pertanian kepada pertumbuhan ekonomi negara menurun dari sekitar 28.8% dalam 1970 kepada 22.9% (1980) dan terus berkurang kepada 16.35% (1990).

 

Pada tahun 2020, sektor pertanian hanya menyumbang sebanyak 7.4% dari keluaran dalam negara kasar (KDNK), berbanding dengan negara jiran seperti Indonesia (13.7%).
 

 

mulanya di sini

 


Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan (2021-2025) telah dibangunkan bagi memperkukuh sekuriti makanan negara dengan mengambil kira isu dan cabaran di sepanjang rantaian bekalan makanan bermula daripada input pertanian hingga ke sisa makanan.

 

Konflik bekalan makanan amat terasa apabila berlaku krisis Ukraine-Russia yang memberi kesan langsung, khususnya terhadap import pertanian.

 

Gangguan bekalan berlaku terhadap input pertanian termasuk baja, dan bahan makanan iaitu gandum, bijirin, serta lemak sayuran dan haiwan.

 

Ekoran dari ini, telah berlaku peningkatan kos pengeluaran dan pengangkutan menyebabkan harga meningkat dua kali ganda.


 

mulanya di sini

 


Pihak kerajaan mesti segera menguatkuasakan dasar yang telah dibentuk agar sektor pertanian menjadi lebih kompetitif.

 

Antara yang disarankan oleh pakar ekonomi adalah seperti usahakan semula tanah yang terbiar dengan meremajakan sektor ini dengan meningkatkan penglibatan golongan muda.

 

Perubahan daripada pertanian konvensional kepada kaedah pertanian berteknologi tinggi akan dapat menarik minat golongan muda kerana pertanian menjadi lebih mudah dan output yang dihasilkan lebih tinggi.

 

Bantuan kewangan sebagai modal permulaan sewajarnya distrukturkan sebagai faktor penarik tanpa syarat yang rumit. Ini sekaligus merupakan antara jalan penyelesaian kepada isu pengangguran dikalangan rakyat Malaysia.

 

Pada masa yang sama pihak yang bertanggungjawab harus mengawal selia untuk memastikan sektor pertanian terus maju jaya. 


 

mulanya di sini

 


Penduduk khususnya di bandar juga pula perlu digalakkan untuk memanfaatkan tanah lapang di kawasan perumahan masing-masing dengan menanam pelbagai jenis keperluan sayuran untuk menjadi golongan yang self-sufficient.

 

Tidak dinafikan kegiatan ini sudah pun dijalankan di sesetengah kawasan perumahan di sekitar Lembah Klang tapi pada skala yang terhad.

 

Walaupun usaha ini nampak tidak signifikan namun ibaratkan peribahasa ‘sikit- sikit lama-lama jadi bukit’.

 

Urban horticulture di London telah berjaya menyumbangkan sekitar 18% keperluan penduduknya. Jiran terdekat kita, Singapura juga menjadikan vertical farming sebagai strategi untuk menambahkan pengeluaran makanan kepada 30% menjelang 2030.

 

Sekiranya kita turut sama mempraktikkan strategi ini secara terancang dan tersusun, sudah pasti, secara makronya dapat mengurangkan kebergantungan kita kepada bekalan makanan dari luar.


 

mulanya di sini

 


Usaha ini juga dapat mengekang kenaikan harga hasil pertanian dengan kadar yang tinggi sehingga membebankan pengguna. 

 

Isu yang didepani ini adalah kritikal. Semua pihak mesti memainkan peranan masing-masing untuk memastikan keadaan tidak terus meruncing sehingga sukar untuk dipulihkan.

 

Sejajar dengan itu, rakyat Malaysia seharusnya hentikan pendemik suka membazir makanan, kerana ia sangat bercanggah dengan realiti krisis makanan yang didepani.

 

Oleh itu, rancanglah dengan kuantiti makanan yang diperlukan.

 

Pihak kerajaan pula perlu melaksanakan dasar yang dibentuk secara serius dan memberi komitmen yang padu demi memperkasakan sektor pertanian bagi menjamin bekalan makanan negara terus mencukupi.

 

Kata kuncinya adalah bertindak bijak sekarang!    – DagangNews.com

 

 

Dr. Marziah Mokhtar adalah Koordinator Keusahawanan MASMED UiTM Dengkil dan 
Sabariah Yusoff adalah Pensyarah Kanan (Ekonomi) Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Puncak Alam

 

Portfolio Tags