Boustead Heavy Industries dapat lanjutan kontrak kapal selam tentera lagi setahun, RM159 juta | DagangNews Skip to main content

Boustead Heavy Industries dapat lanjutan kontrak kapal selam tentera lagi setahun, RM159 juta

Gambar hiasan. - Sumber gambar www.airtimes.my

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Julai - Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC) telah menerima lanjutan kontrak untuk tempoh setahun berhubung penyediaan sokongan perkhidmatan dalaman bagi kapal selam Kelas Perdana Menteri untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). 

 

Kontrak itu diberikan oleh Kementerian Pertahanan kepada Boustead DCNS Naval Corporation Sdn. Bhd. (BDNC) yang merupakan syarikat usaha sama antara anak syarikat penuh BHIC, BHIC Defence Technologies Sdn. Bhd. dengan pemegangan kepentingan 60% dan Naval Group (40%).

 

“Syarikat ingin mengumumkan bahawa BDNC telah menerima Surat Penerimaan Tambahan daripada Kementerian Pertahanan bagi lanjutan tempoh kontrak setahun, bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2021 untuk nilai kontrak berjumlah RM159,146,000,” jelas BHIC dalam makluman di Bursa Malaysia bertarikh 19 Julai lalu.

 

Selain daripada lanjutan tempoh dan semakan semula nilai kontrak itu, BHIC menjelaskan bahawa tiada perbezaaan ketara antara kontrak asal dan Surat Penerimaan Tambahan berkenaan.

 

Kontrak dan Surat Penerimaan Tambahan dijangka memberi sumbangan positif buat perolehan kumpulan BHIC bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2021. 

 

Pada 16 Jun tahun lalu, BDNC menerima kontrak bagi kerja-kerja serupa pada nilai RM154.3 juta daripada Kementerian Pertahanan untuk memberikan perkhidmatan sokongan kepada kapal selam Scorpene TLDM. 

 

Setakat 9.10 pagi, harga saham BHIC melonjak RM0.045 atau 9.47% kepada RM0.520. - DagangNews.com