CIMB ESG-SME Pitch Challenge sedia platform kepada PKS hijau di ASEAN kembangkan perniagaan | DagangNews Skip to main content

CIMB ESG-SME Pitch Challenge sedia platform kepada PKS hijau di ASEAN kembangkan perniagaan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 11 Ogos - CIMB Group Holdings Bhd. melancarkan pertandingan CIMB ESG-SME Pitch Challenge untuk mempercepatkan dan membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di ASEAN yang mempunyai model perniagaan atau operasi berfokuskan kemampanan mendapatkan pembiayaan ekuiti.

 

Bertemakan 'Membiayai Peralihan', program itu dibentuk untuk mendedahkan PKS kepada pembiaya yang berpotensi bagi meningkatkan perniagaan mereka dan berkembang ke fasa pertumbuhan seterusnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, pihaknya teruja untuk memperkenalkan CIMB ESG-SME Pitch Challenge sebagai sebahagian daripada The Cooler Earth Sustainability Summit.

 

Katanya, ia memainkan dua peranan sebagai inisiatif terbaharu kumpulan dalam mengembangkan sokongan CIMB untuk pemerkasaan PKS di rantau ini, di samping menggalakkan inovasi kemampanan di kalangan usahawan ASEAN. 

 

"Kami berharap platform acara dinamik ini akan melihat penumpuan PKS berpotensi tinggi dan pelbagai pelabur serta menjadi landasan pelancaran bagi PKS hijau, sosial dan mampan untuk meningkatkan perniagaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

PKS dialu-alukan menyertai pertandingan itu dengan permohonan dibuka mulai hari ini sehingga 2 September 2022. 

 

Peserta yang disenarai pendek akan menerima bimbingan melalui bengkel persediaan oleh rakan kongsi CIMB, iaitu pitchIN, platform crowdfunding untuk pelabur swasta dan Private Financing Advisory Network (PFAN), rangkaian global pakar pembiayaan iklim dan tenaga bersih yang dianjurkan oleh Pertubuhan Pembangunan Perindustrian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIDO) yang menyediakan bimbingan perniagaan dan kemudahan pelaburan percuma kepada usahawan.

 

 

Abdul Rahman Ahmad
Abdul Rahman Ahmad

 

PwC Malaysia, Rakan Kongsi Sokongan The Cooler Earth juga akan mengadakan bengkel mengenai perkara-perkara penting dalam membangunkan strategi ESG sebagai sebahagian daripada pembinaan kapasiti untuk PKS menjelangPitch Challenge.

 

Sebanyak 10 peserta terbaik yang berjaya akan dipilih berpeluang melancarkan perniagaan mereka dan mengumpul pembiayaan sehingga RM10 juta daripada pelabur ekuiti seperti modal teroka, firma ekuiti swasta, pelabur impak, syarikat pelaburan milik kerajaan dan individu bernilai tinggi.

 

PKS yang mengambil bahagian perlu memberi tumpuan kepada bidang impak hijau, sosial atau mampan, sejajar dengan Rangka Kerja Produk dan Perkhidmatan Impak Hijau, Sosial, Lestari (GSSIPS) Kumpulan CIMB dan mestilah menjana pendapatan, berasaskan ASEAN, dan mempunyai kemampanan dalam perniagaan dan operasi.

 

The Cooler Earth Sustainability Summit yang akan diadakan pada 20 hingga 24 September 2022 bertujuan menghimpunkan pakar global, pemimpin perniagaan, pembiaya, pelabur dan penggubal dasar untuk menggalakkan wacana yang lebih besar dalam kemampanan dan membentuk masa depan yang lebih mampan.

 

Dengan bertemakan 'Memudahkan Peralihan yang Adil', sidang kemuncak bagi tahun ini mencerminkan tindakan global yang semakin pantas terhadap iklim berikutan COP26 di Glasgow, selain memastikan penyelesaian iklim dan pelan tindakan pembangunan sosial adalah inklusif, saksama dan adil untuk semua pihak berkepentingan.

 

Untuk makluman lanjut mengenai CIMB ESG-SME Pitch Challenge, sila layari coolerearth.cimb.com/2022/pitch-challenge.htm. - DagangNews.com