5 pemain hoki Maybank sertai skuad kebangsaan ke saingan Piala Dunia 2023 di India | DagangNews Skip to main content

5 pemain hoki Maybank sertai skuad kebangsaan ke saingan Piala Dunia 2023 di India

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Jan - Lima pemain Maybank berjaya mewakili skuad hoki kebangsaan untuk saingan Piala Dunia 2023 yang akan berlangsung di Bhubaneswar-Rourkela, India. 

 

Pertandingan itu akan berlangsung bermula 13 hingga 29 Januari 2023.
 

Pasukan Malaysia terdiri daripada 20 pemain yang turut menampilkan pemain Maybank, diwakili oleh Meor Mohd. Azuan Hassan, Mohd. Razie Rahim, Muhammad Najmi Farizal Jazlan, Mohamad Ashran Hamsani dan Shahmie Irfan Suhaimi.

 

"Pada mulanya, seramai sembilan pemain Maybank telah dipilih melalui latihan berpusat kebangsaan dan pemilihan terakhir telah dimuktamadkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang bermula pada pertengahan 2022.

 

"Pemain Maybank telah mewakili pasukan hoki kebangsaan Malaysia pada 2014, 2018 dan 2023. Mereka diwakili oleh Hafifihafiz Hanafi dan Mohd Razie pada 2014 diikuti Meor Mohd. dan Mohd Razie pada 2018," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Maybank juga telah mengambil bahagian secara aktif dalam kejohanan hoki kebangsaan dan antarabangsa sejak 1986. 

 

Bank itu berjaya memenangi empat trofi kejuaraan iaitu Liga Hoki Malaysia pada 1990, 1994 dan 1995 dan Kelab Juara Asia pada 1991.

 

Piala Dunia Odisha 2023 akan menampilkan 16 pasukan kebangsaan yang akan bersaing untuk merebut trofi kejohanan. 

 

Sejak kejohanan yang bermula pada 1971, piala tersebut telah dimenangi Pakistan (1971, 1978, 1982, 1994), Belanda, (1973, 1990, 1998), Australia (1986, 2010, 2014) dan Jerman (2002, 2006). 

 

India dan Belgium memenangi gelaran tunggal mereka masing-masing pada 1975 dan 2018. - DagangNews.com