airasia Super App kembang portfolio hotel, bekerjasama dengan Archipelago International | DagangNews Skip to main content

airasia Super App kembang portfolio hotel, bekerjasama dengan Archipelago International

Oleh DIYANA ISAMUDIN

JAKARTA 3 Feb - airasia Super App menjalinkan kerjasama langsung dengan Archipelago International bagi mengembangkan portfolio platform tempahan hotel aplikasi itu dengan lebih 40,000 bilik dan kediaman di lebih 200 lokasi di seluruh Asia Tenggara, Caribbean, Asia Barat dan Oceania.

 


Pengguna airasia Super App kini boleh mengakses beberapa hartanah terkemuka di bawah Archipelago International, termasuk Aston, The Alana, Kamuela, Harper, Quest, NEO, fave, dan Powered by Archipelago. 

 


Gandingan itu  merupakan salah satu usaha airasia Super App sebagai ejen percutian dalam talian (OTA) dan platform tempahan hotel untuk menyokong Kementerian Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia yang menyasarkan 7.4 juta pelancong asing mengunjung ke negara itu pada 2023, terutama sejak pembukaan semula sempadan Indonesia pasca pandemik untuk pelancong antarabangsa dari China.

 


Ketua Pasaran Baharu airasia Super App, Lim Ben-Jie berkata, gabungan kedua-dua jenama yang mempunyai pasaran kukuh dipercayai akan memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan serta menjadi sumbangan sebenar pihaknya dalam menyokong pertumbuhan industri pelancongan Indonesia.

 

 

 

mou signing session
(Dari kiri) Lim Ben-Jie bersama John M Flood pada majlis menandatangani MoU airasia Super App dan Archipelago International pada 31 Januari di Jakarta.

 

 


“Kerjasama ini menekankan semula kekuatan airasia Super App untuk rakan kongsi hotel mengoptimumkan pangkalan data kami sehingga 51 juta pengguna dan 1.25 juta pengguna aktif harian yang mencari tawaran perjalanan. 

 


“Pengalaman tempahan perjalanan serba lengkap kami membolehkan airasia Super App memberikan lebih banyak peluang pemasaran jualan silang dan meningkatkan keterlihatan untuk rakan kongsi hotel secara langsung dalam mencapai sasaran pasaran yang betul," katanya dalam kenyataan media untuk majlis menandatangani MoU itu pada 31 Januari.

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Archipelago International, John M Flood berkata, industri pelancongan semakin pulih selepas pandemik dan Archipelago sedang bersiap sedia untuk mengalu-alukan kemasukan pelancong yang lebih besar tahun ini.

 


"Kami berbangga dapat bekerjasama dengan salah satu peneraju penerbangan di Asia, menghubungkan hotel Archipelago dan pengguna airasia Super App.

 


Beliau berkata, kerjasama simbiotik itu sejajar dengan matlamat untuk mengembangkan kupayaan pengedaran dan rangkaian serta menjadi syarikat hospitaliti pilihan untuk tetamu. 

 


“Sebagai kumpulan pengurusan hotel terbesar di rantau Asia Tenggara, kami juga secara aktif menyokong pertumbuhan dan promosi industri pelancongan Indonesia," katanya. – DagangNews.com