AirAsia X 'kembali' ke Busan hari ini, satu-satunya syarikat penerbangan tawar laluan terus dari KL | DagangNews Skip to main content

AirAsia X 'kembali' ke Busan hari ini, satu-satunya syarikat penerbangan tawar laluan terus dari KL

Benyamin Ismail (tiga dari kanan) semasa majlis menyambut penerbangan sulung ke Busan dari Kuala Lumpur pagi tadi. Turut kelihatan, Datuk Fam Lee Ee (empat dari kiri). - FotoDagangNews2023
Daripada ZUNAIDAH ZAINON di Busan

 

BUSAN 3 Feb - AirAsia X menyambung semula penerbangannya ke Busan, Korea Selatan hari ini selepas tiga tahun terhenti akibat pandemik COVID-19.

 

Penerbangan sulung dengan pesawat D7518 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) pada pukul 2:10 pagi dengan membawa lebih daripada 137 penumpang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Gimhae pada pukul 9 pagi. 

 

Sempena sambutan perkhidmatan penerbangan ini para semua tetamu dalam penerbangan sulung telah dihantar oleh Ahli Lembaga Pengarah AirAsia X, Datuk Fam Lee Ee dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia  Benyamin Ismail. 

 

Sebaik mendarat di Busan, para tetamu turut disambut oleh wakil Pertubuhan Pelancongan Busan (BTO).

 

Sebagai destinasi ke-15 syarikat penerbangan itu dan yang kedua di Korea Selatan, penerbangan tiga kali seminggu ke/dari Busan memainkan peranan penting dalam merangsang permintaan perjalanan baharu dan mengukuhkan AirAsia X sebagai peneraju pasaran di Asia Utara melalui tambang bernilai terbaik serta memacu persaingan yang lebih hebat.


 

Busan
Suasana di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Gimhae, Busan. - Gambar DagangNews2023

 


Benyamin Ismail berkata, AirAsia X berbangga menjadi satu-satunya syarikat penerbangan di Malaysia yang mengendalikan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Busan, sebuah bandar yang mempunyai pelbagai tarikan pelancongan. 

 

Mulai hari ini katanya, perjalanan udara antara Busan dan Kuala Lumpur kini lebih mudah dan berpatutan, memberikan rangsangan yang dialu-alukan untuk pelancongan dan ekonomi tempatan.

 

“Beserta laluan sedia ada kami ke Seoul, pengumuman hari ini mengukuhkan lagi kedudukan pasaran kami di Korea Selatan dan meningkatkan kapasiti keseluruhan kami ke Asia Utara - pasaran kami yang paling pesat berkembang. 

 

"Kami akan terus mencari peluang pengembangan pada masa hadapan dan bekerjasama dengan BTO untuk mempromosikan destinasi ini secara global dan menggiatkan industri pelancongan di Busan," katanya ketika berucap meraikan penerbangan sulung ke Busan, hari ini. 

 

 Jung-Sil Lee
 Jung-Sil Lee

 

 

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pelancongan Busan Jung-Sil Lee berkata, penyambungan semula perkhidmatan ini menyokong misi BTO untuk membina asas pelancongan mampan dengan memberi tumpuan kepada penerbangan ke laluan paling popular terlebih dahulu dan menyokong sektor pelancongan Busan yang terkenal dengan sejarah, budaya, juadah dan seni tempatannya.

 

“Busan turut dinamakan sebagai salah satu daripada '25 Destinasi Pelancongan Terbaik di Dunia pada 2023' oleh National Geographic berikutan bandarnya yang mempunyai budaya dan tawaran pelancongan yang menakjubkan. 

 

"Selaras dengan pengiktirafan ini, kami berharap dapat bekerjasama dengan AirAsia X untuk meningkatkan permintaan pelancongan di Busan dan menarik pengembara bukan sahaja dari Malaysia malah negara Asia Tenggara lain yang kini boleh terbang ke bandar ini dengan mudah dan berpatutan melalui Kuala Lumpur," katanya. 

 

Bagi meraikan perkhidmatan penerbangan ke salah satu destinasi paling popularnya, AirAsia X menawarkan tambang termasuk semua bernilai hebat antara Kuala Lumpur dan Busan daripada RM539/KRW139,000 sehala untuk tempat duduk ekonomi atau RM1,999/KRW499,000 sehala untuk tempat duduk Premium Flatbed. - DagangNews.com

 

Busan

 

Busan

 

Busan

 

Busan
Busan menawarkan panorama menakjubkan dan pelbagai tarikan pelancongan. - Gambar DagangNews2023