AirAsia X kini berada dalam kedudukan lebih baik - Benyamin Ismail | DagangNews Skip to main content

AirAsia X kini berada dalam kedudukan lebih baik - Benyamin Ismail

Media Malaysia yang membuat liputan penyambungan semula penerbangan Kuala Lumpur-Busan bergambar di Haedong Yonggungsa Temple, semalam. Turut kelihatan, Benyamin Ismail (tiga dari kanan) dan Fam Lee Ee (depan kiri).
Daripada ZUNAIDAH ZAINON di Busan

BUSAN 4 Feb - AirAsia X kini berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk bangkit semula selepas terjejas akibat pandemik COVID-19 dengan menyaksikan beberapa penyambungan semula laluan antarabangsanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, syarikat ketika ini sudahpun kembali pulih selepas melalui proses penstrukturan semula. 

 

Jelasnya, ia terbukti apabila syarikat penerbangan jarak sederhana ini mula mencatat keuntungan pada suku kelima berakhir 30 September 2022 (Q52022). 

 

"Pada bulan depan, kami akan mengeluarkan prestasi kewangan bagi suku sebelum ini (yang merupakan suku puncak), yang kami jangka mencatat angka menggalakkan. 

 

"Didorong harga tambang dan kadar muatan, kami yakin kini berada dalam kedudukan yang lebih baik," katanya kepada media Malaysia dalam majlis penyambungan semula laluan Kuala Lumpur-Busan pada Jumaat. 

 

 

aax
Benyamin Ismail (depan, kiri) dan Ahli Lembaga Pengarah AirAsia X, Datuk Fam Lee Ee (depan, kanan) ketika meraikan para penumpang penerbangan sulung ke Busan yang kembali disambung semula pada Jumaat.

 

 

AirAsia X merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM25.09 juta dan pendapatan berjumlah RM100.1 juta bagi Q52022 selaras dengan pemulihan ekonomi pasca pandemik.

 

Bagi tahun kewangan penuh 18 bulan berakhir 31 Disember 2022 (FY22), ia telah membawa 417,195 penumpang dengan jumlah kapasiti 536,491 tempat duduk.

 

Menjelang akhir Disember 2022, AirAsia X mengendalikan penerbangan ke 13 destinasi, termasuk Seoul dan New Delhi, dua daripada destinasi paling popular yang dilancarkan pada suku sebelumnya.

 

Penerbangan baharu yang dilancarkan adalah ke Melbourne, Perth, Tokyo-Haneda, Sapporo, Taipei, Jeddah dan Bali-Denpasar, selain memperkenalkan laluan baharu Sydney-Auckland pada suku keenam.

 

Baca : AirAsia X 'kembali' ke Busan hari ini, satu-satunya syarikat penerbangan tawar laluan terus dari KL

 

 

aax
Haedong Yonggungsa Temple, antara tarikan utama pelancong di Busan, Korea Selatan. - FotoDagangNews2023

 

 

Semalam, AirAsia X memulakan kembali penerbangannya ke Busan, Korea Selatan selepas terhenti selama tiga tahun akibat pandemik COVID-19. 

 

Menurut Benyamin, syarikat menyasarkan untuk mengendalikan tujuh penerbangan ke Busan setiap minggu menjelang akhir 2023, berbanding tiga kali seminggu ketika ini.

 

Beliau menyifatkan Busan memainkan peranan penting dalam merangsang permintaan baharu dan mengukuhkan syarikat penerbangan itu sebagai peneraju pasaran di Asia Utara dengan tawaran nilai tambang terbaik dan memacu persaingan yang lebih hebat dalam pasaran sejak memulakan laluan itu pada 2013. 

 

"Kami yakin laluan syarikat penerbangan tambang rendah ke Busan ini akan dapat mencapai tahap 85% faktor muatan bagi tempoh suku pertama ini.

 

"Memandangkan permintaan perjalanan meningkat semula, kami jangkakan beberapa destinasi baharu akan diperkenalkan, khususnya melibatkan rantau Asia Utara, termasuk bandar-bandar utama di China, Korea Selatan dan Jepun," jelasnya.
 

 

aax

 

 

Secara keseluruhan, beliau berkata, Korea Selatan dan Jepun merupakan dua pasaran utama kepada AirAsia X yang disambung semula diikuti Australia. 

 

Ketika ini, tujuh pesawat AirAsia X sudah beroperasi manakala tiga lagi masih berada dalam penyelenggaran. 

 

"Kami jangkakan keseluruhan sebanyak 17 pesawat akan beroperasi menjelang akhir tahun ini, termasuk enam yang akan kembali beroperasi sepenuhnya," tambahnya. - DagangNews.com