Baik buruk konsep 'beli sekarang, bayar kemudian' | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 22 Nov 2022 07:14 AM

BAIK BURUK KONSEP 'BELI SEKARANG, BAYAR KEMUDIAN'

 

 

DALAM sistem kewangan, konsep 'beli sekarang, bayar kemudian' atau lebih dikenali sebagai BNPL (buy now, pay later) akan menjadi satu pembiayaan jangka pendek yang membolehkan pengguna membuat pembelian dan membayarnya pada tarikh lain.

 

Kebiasaannya, bayaran ini tanpa faedah atau bunga seperti yang diamalkan oleh bank. Peningkatan budaya pembiayaan sebegini selari dengan peningkatan permintaan untuk perkhidmatan e-dagang. 

 

BNPL semakin diperkatakan dan ia dijangka menjadi pilihan yang popular terutama kepada anak-anak muda yang baru memasuki alam pekerjaan dalam mendapatkan pembiayaan daripada bank. 

 

Walaupun, BNPL menawarkan banyak kemudahan, tetapi ia masih merupakan satu bentuk hutang yang perlu dibayar oleh pengguna. Malah, dalam Islam, hutang ini akan dibawa ke mati! 

 

BNPL ialah pilihan pembayaran di mana pelanggan boleh membuat pembelian tanpa perlu membayar jumlah penuh semasa pembelian. 

 

Pelanggan hanya mendaftar dengan bank yang menyediakan kemudahan pembiayaan ini dan akan membuat pembayaran apabila membuat pembelian. 

 

Sebaik sahaja bank membayar harga barangan yang dibeli, pelanggan akan mula membayar balik jumlah tersebut dalam tempoh masa ditetapkan.

 

 

gambar hiasan

 

 

Perbezaan dengan pembiayaan peribadi
 

 

Jika dibandingkan dengan pembiayaan peribadi, secara amnya tiada keuntungan atau harga tambah akan dikenakan di bawah skim BNPL ini. 

 

Pelanggan boleh sama ada membayarnya sebagai jumlah sekali gus, atau memilih membayarnya melalui ansuran bulanan tanpa kos. 

 

Jika pelanggan gagal membayar jumlah tersebut dalam tempoh pembayaran bulanan yang dipersetujui, maka bank akan bertanggungjawab untuk mengenakan caj tambahan ke atas jumlah harga belian tersebut. 

 

Kelewatan membayar bayaran bulanan akan menjejaskan kredibiliti pelanggan sebagai pelanggan yang baik, iaitu bermakna skor kredit pelanggan tersebut akan tercalar.

 

 

Bagaimana BNPL berfungsi? 

 

Pelanggan akan membuat pembelian barangan daripada peniaga runcit melalui bank yang mengambil bahagian dalam BNPL ini. 

 

Bank biasanya akan mempunyai senarai peniaga runcit berdaftar mereka yang tersendiri. Pelanggan memilih pilihan ini dan seterusnya akan membuat bayaran pendahuluan daripada jumlah pembelian keseluruhan dan menyelesaikan transaksi. 

 

Jumlah selebihnya atau baki pembayaran untuk harga pembelian akan ditolak secara bulanan dari sistem e-pembayaran yang telah dipersetujui tanpa faedah. 

 

Pembayaran boleh dibuat melalui pindahan bank, cek, kad kredit, kad debit atau terus daripada akaun bank.

 

 

gambar hiasan

 

 

Kelebihan dan kelemahan

 

Antara kelebihan BNPL adalah ia dapat meningkatkan kemampuan pelanggan untuk mendapatkan barang yang diperlukan dengan bayaran tanpa faedah atau keuntungan seperti yang dilaksana dalam pembiayaan bank. 

 

Ia juga memberikan khidmat akses kredit yang segera untuk para pelanggan tanpa melalui proses permohonan kemudahan kredit biasa di bank. 

 

Tambahan pula, transaksi adalah transaksi yang mudah dan selamat. Pelanggan boleh memilih tempoh pembayaran bulanan yang mereka sukai. Kos-kos pemprosessan tidak dikenakan dan proses permohonan dan kelulusan adalah mudah.

 

Antara kelemahan BNPL pula, ada kemunginan berlaku penipuan di mana pelanggan tidak sedar bahawa hutang atas nama mereka telah dibuat tanpa pengetahuan di mana nama mereka telah digunakan oleh orang lain. 

 

Sikap tidak peka kepada etika pengguna boleh juga berlaku dalam promosi kepenggunaan. Akhir sekali, promosi untuk berhutang adalah satu daripada perkara yang sebenarnya tidak digalakkan. 

 

 

gambar hiasan

 

 

Apa beza dengan kad kredit?

 

Hutang sepatutnya untuk tujuan keperluan yang mendesak, dan bukannya untuk kemewahan yang jika tidak dikawal, bakal memakan diri sendiri sekiranya pelanggan gagal melunaskan pembayaran tersebut.

 

Ada persoalan tentang perbezaan antara sistem kad kredit bank dan BNPL ini. Walaupun, kedua-dua perkhidmatan ini menawarkan skim pembayaran ansuran, satu perbezaan utama ialah kedua-duanya menyasarkan pasaran (hutang) yang berbeza. 

 

Kad kredit yang disediakan oleh bank dipasarkan kepada mereka yang hanya layak dari sudut kredibiliti membayar pembayaran bulanan. 

 

Malah, pemilik kad kredit juga menikmati faedah seperti rebat, pulangan tunai atau mata yang boleh ditebus untuk barangan.

 

Pelanggan yang memohon kad kredit harus mempunyai skor kredit yang baik di mana mereka dapat menunjukkan penjanaan pendapatan yang stabil dan keupayaan untuk membayar hutang, yang ditentukan oleh bank melalui penilaian risiko. 

 

Proses penilaian risiko adalah untuk mengukur kebarangkalian kerugian bank akibat kegagalan pelanggan membayar hutang. 

 

Semakin rendah risiko kegagalan membayar hutang, semakin tinggi kemungkinan mereka mendapat kad kredit yang diluluskan.

 

 

gambar hiasan

 

 

Sikap berhutang

 

Untuk BNPL pula, kelayakan pelanggan tidak berdasarkan skor kredit. Oleh itu, bank mungkin perlu membina 'skor kredit' pelanggan berdasarkan penggunaan perkhidmatan BNPL dengan merujuk kepada sejarah dan budaya pembelian yang dibuat. Bank selalunya mempunyai maklumat perbelanjaan pelanggan. 

 

Oleh demikian, pelanggan untuk BNPL ini boleh termasuk mereka yang tidak layak mendapat kad kredit di mana skor kredit pelanggan tersebut kurang memberangsangkan atau tidak mempunyai akaun bank langsung.

 

Penulis masih merasakan sistem pembiayaan yang menggalakkan hutang tidak akan dapat membantu mengurangkan sikap suka berhutang. 

 

Adalah baik jika bank dapat menumpukan masa kepada pembikinan produk yang dapat memupuk pelanggan menyimpan untuk membeli apa yang mereka suka pada masa hadapan. 

 

Contohnya, konsep 'bayar sekarang, beli kemudian' (pay now, buy later - PNBL) mungkin merupakan dasar murni yang dapat mendidik pelanggan untuk merancang perbelanjaan mereka. Setuju? - DagangNews.com

 

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS)
Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

utm