Calon BN lalui pelbagai tapisan termasuk jabatan agama - Ismail Sabri | DagangNews Skip to main content

Calon BN lalui pelbagai tapisan termasuk jabatan agama - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR 25 Okt - Calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu menjalani beberapa tapisan termasuk mungkin dengan jabatan agama. 

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tapisan dengan jabatan agama itu pertama kali dilakukan supaya tidak mendatangkan masalah di kemudian hari. 

 

Selain itu, beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, setiap calon BN turut menjalani tapisan polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi. 

 

Menurut beliau, pemilihan calon masih berlangsung dengan pembentangan pusingan pertama telah dilakukan oleh pengerusi badan perhubungan negeri UMNO. 

 

"Kali kedua (perbincangan) akan diadakan. Kita pun akan buat saringan dengan polis, SPRM, (Jabatan) Insolvensi dan mungkin kali ini dengan pejabat agama. 

 

"Pejabat kadi pun kita kena semak juga kalau ada yang kahwin dekat Siam ke. 

 

"Ada yang nafkah anak tak bayar ke, ada penghakiman di Mahkamah Syariah ke, kalau dahulu kita tak pernah periksa, kali ini lebih terperinci," katanya selepas menghadiri taklimat khas sempena PRU15 dan Monsun Timur Laut 2022 di Bukit Aman, hari ini. 

 

Sementara itu, Ismail Sabri menolak ramalan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli bahawa Barisan Nasional (BN) menghadapi kesukaran untuk menang dalam PRU-15 sambil menyifatkan setiap parti yang bertanding berasa yakin untuk menang. 

 

"Samalah, dari segi kajian kita, mereka (Pakatan Harapan) sukar untuk menang pilihan raya. 

 

"Semua orang masuk pilihan raya ini, semua yakin menang, kalau tak yakin seorang pun tak bertanding. 

 

"Masing-masing kata parti dia menang, Tun Dr. Mahathir Mohamad kata Gerakan Tanah Air (GTA) dia akan menang, PH kata menang, Perikatan Nasional (PN) pun kata menang, tentu sekali BN kata kita akan menang juga," katanya.

 

Rafizi ketika berucap pada kempen 'Ayuh Malaysia' semalam, mendakwa BN berdepan kesukaran untuk menang PRU-15 disebabkan majoriti rakyat tidak berpuas hati dengan prestasinya selain menyatakan dapatan itu berdasarkan tinjauan statistik dilakukan PKR. - DagangNews.com