Capaian 5G - DigitalPerak sedia terlibat urus pembangunan infrastruktur telekomunikasi | DagangNews Skip to main content

Capaian 5G - DigitalPerak sedia terlibat urus pembangunan infrastruktur telekomunikasi

Ipoh menjadi antara bandar yang mempunyai liputan 5G terluas bagi kawasan Wilayah Utara dengan capaian kelajuan melebihi 1 Gigabait per saat.
Oleh ZAKI SALLEH

IPOH 3 Feb - Digital Perak Corporation Holdings (DigitalPerak) bersedia untuk terbabit sama secara aktif dalam libat urus pembangunan infrastruktur telekomunikasi 5G negeri Perak yang kini dimulakan di Ipoh.

 

Sejak ditubuhkan pada 2015, DigitalPerak telah memainkan peranannya dalam memacu pembangunan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi digital di negeri ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Meor Rezal Fitri Meor Redwan berkata, sehingga tahun ini terdapat 1,820 struktur telekomunikasi yang beroperasi secara sah di Perak.

 

Menurut beliau, Digital Perak merupakan agensi yang menyelaras segala permohonan berkaitan pembangunan tersebut terutamanya pembinaan pencawang-pencawang.

 

"Kita juga diberi mandat kerajaan negeri pada 2020 sebagai pelaksana pusat sehenti pembayaran fi termasuk untuk pembaharuan permit.

 

5g
Meor Rezal Fitri Meor Redwan

 

"Ini termasuklah membantu pihak berkuasa tempatan untuk memperbaharui permit dan lain-lain pembayaran berkaitan dengan pembangunan infrastruktur telekomunikasi.

 

"Kita lihat selepas mandat-mandat ini diberi, prestasi untuk pembinaan infrastruktur itu meningkat manakala proses pembayaran permit lebih cepat berbanding dahulu," ujarnya kepada Dagang News.

 

Ipoh kini menjadi bandar kelima di Malaysia selepas Kuala Lumpur, Putajaya, Cyberjaya dan Johor Bahru serta yang pertama di Wilayah Utara yang mempunyai capaian akses 5G berkelajuan 1GB per saat.

 

Ia hasil pasukan 5G Greater Ipoh yang diketuai Datuk Bandar, Datuk Rumaizi Baharin bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak, Digital Nasional Berhad, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Telekom Malaysia.

 

5g
Datuk Rumaizi Baharin semasa memberi penerangan tentang capaian 5G di Ipoh Integrated Command Centre (IIOC).

 

Sehingga kini Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah melaksanakan 'kick-off' 14 projek termasuk sebuah projek utama Bandar Pintar Ipoh iaitu Ipoh Integrated Command Centre (IIOC).

 

Jelas Meor Rezal Fitri, projek rintis 5G dalam kawasan MBI melalui Greater Wilayah Ipoh ini akan meliputi Majlis Daerah Batu Gajah, Kampar dan sebahagian kawasan Majlis Daerah Kuala Kangsar iaitu Sungai Siput.

 

Katanya, untuk fasa jangka panjang Datuk Bandar Ipoh mencadangkan agar diwujudkan satu jawatankuasa penyelaras bagi menyelaras infrastruktur pembangunan telekomunikasi 5G.

 

"Di negeri-negeri lain juga ada 'one stop agency' dan kami percaya berdasarkan prestasi yang dimainkan, DigitalPerak adalah antara yang terbaik di Malaysia

 

"Jadi insyaallah jika hendak melaksanakan fungsi tambahan menyelaras berkaitan dengan permohonan pembangunan telekomunikasi 5G, kita yakin dapat melaksanakannya dengan baik," ujarnya. - DagangNews.com