CGS-CIMB : Lotte Chemical mungkin tidak isytihar dividen, diunjur catat satu lagi kerugian besar bagi FY23 | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB : Lotte Chemical mungkin tidak isytihar dividen, diunjur catat satu lagi kerugian besar bagi FY23

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 2 Feb - CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'kurang' terhadap Lotte Chemical Titan Holding Bhd. dengan menjangkakan kumpulan akan merekodkan satu lagi kerugian besar bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) ekoran harga jualan purata (ASP) yang lebih rendah disebabkan tambahan kapasiti global yang ketara dan permintaan lemah.

 

Ini berikutan kumpulan merekodkan kerugian bersih teras sebanyak RM317 bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2022, mengatasi kerugian besar pada suku sebelumnya sebanyak RM290 juta.

 

Susulan itu, kerugian bersih teras kumpulan bagi separuh kedua melebar kepada RM607 juta berbanding RM9 juta pada separuh pertama, menjadikan kerugian bersih teras bagi FY22 sebanyak RM515 juta, tertinggi sejak ia disenaraikan semula pada 2017.

 

Menurut firma itu, kerugian tersebut disebabkan penurunan ASP yang lebih pantas apabila permintaan pengguna terhadap barangan semakin berkurangan ekoran tekanan  inflasi dan kenaikan kadar faedah.

 

"Disebabkan kerugian yang dialaminya ini, kami menjangkakan Lotte Chemical Titan mungkin tidak akan mengisytiharkan sebarang dividen bagi FY22, atau sebarang interim atau dividen akhir bagi FY23 (kerana kami menjangkakan satu lagi kerugian besar bagi tahun kewangan seterusnya).

 

"Namun begitu, kumpulan akan membayar 13.98 sen dividen khas pada Disember 2022 kerana ia mempunyai lebihan tunai (selain 18 sen yang dibayar pada November 2021), mencetuskan kenaikan harga saham 24% pada November 2022," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

CGS-CIMB menjangkakan kerugian bersih teras kumpulan akan meningkat sebanyak 16% bagi FY23 ekoran anggaran ASP petrokimia yang lebih rendah. 

 

Bagaimanapun, kerugian bersih teras bagi FY24 akan bertambah baik kepada ramalan keuntungan bersih teras memandangkan ASP mungkin kembali pulih susulan jangkaan pemulihan ekonomi global.

 

Firma itu berkata, pemangkin kepada penurunan penarafan bergantung kepada kelembapan dalam pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global, kos sara hidup dan kadar faedah yang lebih tinggi yang akan menjejaskan perbelanjaan pengguna tahun ini, sebahagiannya mengimbangi sekatan COVID-19 di China.

 

"Dari segi bekalan, kami menjangkakan pertumbuhan bekalan polimer dan MEG global melebihi pertumbuhan permintaan tahun ini, dan harga yang lebih rendah akan menyusul, kemungkinan mengatasi sebarang penurunan kos naphtha pada 2023.

 

"Malah, kumpulan juga mungkin berdepan lebih banyak persaingan memandangkan pengeluar tempatan menyasarkan untuk menjalankan sepenuhnya operasi kilang Pengerang menjelang akhir tahun ini," jelasnya.

 

Setakat 9.30 pagi, harga sahamnya susut 13 sen atau 8.28% kepada RM1.44 dengan 2.02 juta saham diniagakan. - DagangNews.com