CTRM raih anugerah kecemerlangan kualiti Spirit AeroSystems di AS | DagangNews Skip to main content

CTRM raih anugerah kecemerlangan kualiti Spirit AeroSystems di AS

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 3 Okt - Pengeluar komponen komposit pesawat, Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) telah menerima Anugerah Kecemerlangan Kualiti daripada Spirit AeroSystems, Inc. (Spirit), pengeluar struktur aero terbesar di dunia untuk kapal terbang komersial, platform pertahanan dan jet perniagaan/serantau. 

 

Anugerah itu diumumkan di Simposium Pembekal Spirit 2022 yang berlangsung di Ibu Pejabat Spirit di Wichita, Kansas, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

 

Anugerah tahunan ini mengiktiraf pembekal-pembekal global yang mempamer prestasi luar biasa dan mencipta nilai untuk perniagaan. Tahun ini, sebanyak 15 pembekal telah diiktiraf dalam pelbagai kategori daripada inovasi produk, penghantaran dan kualiti sehingga kepada penjimatan kos dan kelestarian.

 

Anugerah Kecemerlangan Kualiti adalah bukti keupayaan CTRM menghasilkan produk kualiti bertaraf dunia kepada pelanggannya. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif CTRM, Shamsuddin Mohamed Yusof berkata, beliau sangat gembira atas pencapaian itu yang merupakan hasil komitmen, semangat berpasukan dan sokongan daripada semua pekerja syarikat serta rakan kongsi perniagaan mereka.

 

“Kami amat berbesar hati menerima anugerah ini, yang merupakan pengiktirafan terhadap komitmen CTRM yang tidak berbelah bahagi dalam menepati sasaran dan jangkaan Spirit mengenai kecemerlangan kualiti. 

 

"Anugerah ini adalah hasil kerja keras, kerja berpasukan dan dedikasi daripada semua kakitangan CTRM dan akan mendorong kami untuk lebih cemerlang lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

ctrm
Shamsuddin Mohamed Yusof (tengah) bergambar bersama Naib Presiden Fabrikasi dan Ketua Pegawai Perolehan Spirit, Alan Young (kiri) dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Spirit, Thomas Gentile ketika menerima anugerah kecemerlangan kualiti di Simposium Pembekal Spirit 2022 di Kansas, AS.

 

 

Spirit merupakan salah satu pelanggan utama CTRM, dan bermula sejak tahun 2000 lagi apabila dianugerahkan projek aerostruktur pertama, bahagian fixed trailing edge untuk pesawat Airbus A300. 

 

Hari ini, 18 program kerja CTRM adalah daripada syarikat yang berpangkalan di Kansas, khususnya untuk komponen sayap dan fan cowl untuk syarikat gergasi Perancis, Airbus SE (Airbus), dan The Boeing Co (Boeing) dari AS. 

 

Tambah Shamsuddin, pengiktirafan daripada Spirit merupakan satu dorongan yang datang tepat pada masanya.

 

 

ctrm

 

 

“Dua tahun ini merupakan tempoh yang sangat mencabar buat CTRM namun ia dapat diuruskan dengan baik yang mana jumlah pengeluaran diselaraskan bagi mengurangkan impak COVID-19 ke atas industri penerbangan global. 

 

"Dengan kita kini berada dalam fasa pemulihan, pengiktirafan berprestij ini pastinya akan membantu meningkatkan reputasi CTRM dan meningkatkan tahap daya saing kami terhadap peluang perniagaan dalam industri.

 

“Seikhlas terima kasih kami ucapkan kepada pasukan Spirit atas kepercayaan yang berterusan, keyakinan dan sokongan yang luar biasa dalam membantu kami membina dan mengukuhkan rekod prestasi dalam kualiti dan penghantaran produk," katanya.

 

Katanya, anugerah itu akan memberi inspirasi kepada mereka untuk mengekalkan momentum, berbekalkan semangat, keazaman dan ketabahan, dan sentiasa mendorong untuk mengharungi sebarang cabaran mendatang," katanya. - DagangNews.com